Selepas 10 hari buntu mencari penerbangan Malaysia Airlines MH370, bekas pembantu pengarah FBI di New York menasihatkan agar penyiasat menggap semua penumpang sebagai suspek dan bukan sebagai mangsa.
Bercakap dalam program CNN "The Lead with Jake Tapper", Bill Gavin berkata, realiti yang perlu diterima adalah 239 penumpang dalam pesawat tersebut berkemungkinan mangsa dan juga suspek, sehingga dibuktikan sebaliknya.
"Kamu perlu lihat semua penumpang dalam pesawat tersebut," kata Gavin, dan menegaskan penyiasat perlu mencari latar belakang semua penumpang bagi mencari petunjuk.
"Kamu boleh asingkan beberapa individu yang mungkin bukan suspek, seperti kanak-kanak, warga tua, orang uzur. Kamu mungkin dapat kenal pasti mereka ini.
"Tapi yang penting, kamu perlu lihat keseluruhan kategori penumpang dalam pesawat itu," katanya.
Pihak berkuasa Malaysia mula menyiasat beberapa individu dalam pesawat MH30, antaranya juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantu, Fariq Abdul Hamid, 27.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau kaitan kedua-dua mereka dalam kehilangan MH370, lapor The Wall Street Journal.
Polis juga mengeledah rumah kedua-dua individu tersebut Sabtu lalu, malah simulator penerbangan Zaharie juga dirampas daripada rumah dan dipasang semula di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Penyiasat masih meneliti sebarang kemungkinan.
Setakat ini, pegawai penyiasat tidak menemui sebarang bukti bagi mengaitkan juruterbang ataupun individu lain berlatih pergerakan tertentu dalam simulator tersebut.
Keluarga dan rakan yang rapat dengan juruterbang tersebut tidak mempercayai kedua-dua mereka dengan sengaja "mengubah" laluan asal pesawat.
WSJ menyifatkan Zaharie yang mempunyai pengalaman 18,000 jam penerbangan juga merupakan seorang jurulatih penerbangan manakala Fariq sedang menanti untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya.
Kecenderungan politik juruterbang juga dipertimbangkan ketika ini, dan Zaharie dikatakan penyokong kuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hanya beberapa jam sebelum penerbangan berlepas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Anwar atas tuduhan liwat.
Walaupun jarak masa dengan kehilangan pesawat dan hukuman itu dijatuhkan dekat, tidak ada bukti untuk mengaitkan kehilangan pesawat dengan juruterbang atau fahaman politik beliau.
Penyiasat juga sedang mengkaji latar belakang salah seorang penumpang, Mohammed Khairul Amri Selamat, seorang jurutera penerbangan awam Malaysia berusia 29 tahun yang bekerja untuk sebuah syarikat jet peribadi swasta.
Beliau berada dalam pantauan kerana pengetahuan penerbangan yang dimiliki.
"Saya yakin bahawa beliau tidak terlibat," kata bapa Khairu.
"Mereka dialu-alukan untuk menyiasat saya dan keluarga saya."
Fokus siasatan ketika ini tertumpu ke arah penumpang yang mempunyai latar belakang penerbangan memandangkan cara pesawat tersebut dipesongkan daripada laluan asal menunjukkan individu tersebut merancang dan mengetahui apa yang dilakukannya.
"Masih terdapat beberapa negara yang masih belum memberi maklum balas ke atas permintaan kami untuk memeriksa latar belakang penumpang rakyat negara berkenaan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Tetapi ada beberapa agensi perisikan asing yang membersihkan nama penumpang mereka."
Semasa awal siasatan, pihak berkuasa menumpukan terhadapa dua penumpang Iran, Pouri Nourmohammadi, 18, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, yang didapati menaiki pesawat menggunakan pasport dicuri.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menolak andaian kedua-dua mereka tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.
Polis percaya Nourmohammadi cuba untuk berhijrah ke Jerman menggunakan pasport Austria yang dicuri. Ibunya menghubungi polis selepas anaknya tidak tiba di Frankfurt seperti yang diharapkan.