KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditugaskan mencari pesawat MH370 yang hilang dengan mengerah aset mereka di kawasan koridor selatan, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hari ini.
Koridor selatan menjangkau dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi, manakala koridor utara pula dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand.
Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan berkata, jumlah negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini meningkat daripada 14 kepada 26 buah.
Negara berkenaan adalah Malaysia, Australia, Bangladesh, Brunei, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Turkmenistan, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat, Uzbekistan dan Vietnam.
"Kementerian Luar telah menghantar nota diplomatik kepada semua negara di sepanjang koridor utara dan selatan serta semua negara yang kita memohon bantuan," kata Hishammuddin.
Hishammuddin berkata, nota diplomatik itu menggariskan sokongan dan bantuan khusus yang diperlukan, termasuk maklumat radar dan satelit; operasi mencari di darat, laut dan udara; pelan tindakan mencari dan menyelamat bagi negara berkaitan; dan perincian berkaitan apa jua maklumat yang diperlukan daripada Malaysia.
Beliau turut mengesahkan tiga pegawai daripada Agensi Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) kini berada di Kuala Lumpur untuk membantu operasi SAR itu.
Pegawai berkenaan akan berkongsi kepakaran dan pengetahuan berdasarkan pengalaman yang mereka peroleh semasa mencari pesawat 447 Air France yang terjunam ke Lautan Atlantik di perairan Brazil ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro ke Paris pada 1 Jun, 2009, mengorbankan kesemua 228 penumpang dan anak kapal.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac.
Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama