Bung Mokhtar Bung Mokhtar



KUALA LUMPUR - Seorang wakil rakyat hari ini meminta kerajaan menyiasat dan mengadakan kajian terperinci berhubung kes penggunaan dadah di konsert Festival Future Music Asia 2014 (FMFA), Sabtu lepas.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata penggunaan dadah di konsert sebegitu di negara ini adalah mengejutkan dan tidak seharusnya berlaku.

"Saya mahu kerajaan mengkaji, kenapa apabila ada konsert (FMFA), ada yang mati, kematiannya pula kerana pengambilan dadah berlebihan, kenapa dibenarkan dalam konsert sebegini.

"Saya tidak tahu macam mana tidak ada kawalan ke arah untuk mengekang (penggunaan dadah)," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Awal pagi Sabtu lepas, enam orang, termasuk tiga wanita, meninggal dunia manakala 14 individu dirawat di hospital akibat mengambil dadah ketika menonton konsert FMFA.

Enam orang yang meninggal dunia itu adalah warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun.
Persidangan dewan disambung esok. - Bernama