MH370


SHAH ALAM – Sukar untuk sebuah pesawat komersial seperti MH370 untuk pergi terlalu jauh tanpa dikesan oleh radar, kata pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Lt. Kol Mohamed Tarmizi Ahmad.

Menurut Mohamed Tarmizi, pesawat seperti Boeing 777, hanya boleh dihilangkan daripada radar sekiranya pesawat itu terbang dengan rendah.

“Jika mengambil kira kemungkinan MH370 terbang rendah untuk mengelak radar, agak sukar untuk pesawat itu pergi terlalu jauh kerana, semakin rendah ia terbang semakin kuat tekanan minyak digunakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai seorang juruterbang berpengalaman, bekas Ketua Juruterbang Penerbangan MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, kebiasaannya minyak akan diisi lebih daripada jarak ditetapkan kerana ada ketika memerlukan sesebuah pesawat itu melalukan 'air turn back' atau diversi ke lapangan terbang lain jika berlaku kecemasan.

Ditanya sejauh mana MH370 boleh terbang jika benar bahawa pesawat itu masih berada di udara selepas terputus hubungan dari Menara Kawalan Trafik Udara, Kuala Lumpur, Nik Ahmad Huzlan berkata, dengan kapasiti minyak berbaki dan kelajuan yang ada MH370 boleh bergerak sejauh 5,100KM.

“Kita mengambil kira satu jam minyak digunakan dan berbaki enam jam lagi. Dengan kelajuan itu pesawat boleh pergi sehingga 5,100KM (850KM/jam X 6 jam),” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kehilangan MH370 sesuatu yang misteri dan sukar diramal.

Beliau turut menyifatkan pesawat Boeing 777 antara yang paling selamat dan setelah 18 tahun dibawa masuk ke Malaysia, tiada sebarang laporan kerosakan elektronik dilaporkan.

Selepas lebih 140 jam MH370 hilang, masih belum ada sebarang tanda-tanda dikesan di manakah kedudukan sebenar pesawat yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu.