Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Nama Anwar Mula Dikaitkan Dengan MH370, Apakah Rumahnya Pula Digeledah Selepas Ini?

$
0
0

shahbudindotcom



Hari ini sudah masuk hari kesembilan kehilangan pesawat MH370 menghantui dunia. Daripada jangkaan awal bahawa pesawat itu mungkin terhempas dengan fokus pencarian di Laut China Selatan dan Selat Melaka, pengumuman Perdana Menteri, Najib Razak dalam sidang akhbar yang tidak boleh ditanyakan soalan semalam, perhatian kini bertukar dimensi dengan kebarangkalian ianya dirampas atau sengaja disabotaj pula.

Sebagaimana yang didedahkan Najib juga, pesawat itu kini mungkin berada di sempadan antara Turkmenistan dan Kazashtan sehingga ke utara Thailand atau di koridor selatan yang mengunjur daripada Indonesia hingga ke Lautan Hindi.

Maklumat daripada radar TUDM bahawa pesawat itu sengaja dialihkan tujuannya serta sistem komunikasi juga dimatikan dengan sengaja, sudah pasti untuk mengelak dikesan, tumpuan kini ialah kepada mereka yang berada di dalam kokpit pesawat itu iaitu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid.

Persoalannya ialah jika pesawat itu dirampas, apakah juruterbangnya diugut oleh sekumpulan perampas yang menyamar sebagai penumpang atau beliau merupakan sebahagian daripada komplot rampasan itu?

Apakah pula tuntutan dan permintaan mereka? Sehingga ini masih belum terdengar ada sebarang tuntutan dibuat kepada kerajaan Malaysia atau mana-mana kerajaan lain berhubung rampasan ini.

Atau mungkinkah kerajaan sebenarnya sudah menerima permintaan itu dan sedang berunding mengenainya dan ia sengaja disembunyikan atas faktor-faktor keselamatan?

Dah sekiranya kehilangan pesawat ini merupakan satu sabotaj, apakah pula penyebabnya?

Sementara pihak polis sudah pun menggeledah rumah juruterbang dan pembantunya itu untuk mengumpul lebih banyak maklumat, maklumat berita di internet ketika ini lebih sarat mengenai pendedahan maklumat tentang kecenderungan anutan politik jututerbang tersebut.

Selain sudah banyak didedahkan maklumat mengenai Kapten Zaharie yang digambarkan penyokong tegar PKR dan berkempen kuat untuk V Sivarasa di kawasan Parlimen Subang dalam pilihanraya lalu, beliau juga digambarkan sebagai peminat setia Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan terbaru yang didedahkan oleh akhbar Daily Mail, Ahmad Zaharie juga didakwa berada di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac untuk memberi sokongan moral kepada Anwar Ibrahim dan menyaksikan sendiri detik-detik hukuman 5 tahun penjara itu dijatuhkan.

Selepas mahkamah berakhir pada 7 malam, barulah beliau pulang ke rumah dan kemudian pada jam 9 malam terus bertolak ke KLIA untuk tugasan membawa pesawat MH370 ke Beijing.

Apakah mungkin kerana kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan itu, lalu beliau melakukan sabotaj itu secara sendirian?

Selain akhbar luar negara, beberapa blog dan pengendali laman sosial pro UMNO, tanpa segan-silu dan tanpa mengambil kira perasaan isteri dan ahli keluarga Kapten Zaharie, terus mengaitkan beliau dengan hukuman penjara terhadap Anwar Ibrahim sebagai punca kehilangan pesawat itu.

Beliau didakwa kecewa dengan hukuman itu dan cuba meluahkan perasaannya dengan melakukan sabotaj itu. Apakah ianya benar? Isunya ialah apakah beliau seorang yang tidak berfikir panjang kerana, jika benar itu alasannya, ia adalah tindakan yang tidak mampu mengubah apa-apa, malah perbuatannya membahayakan nyawa 239 penumpang adalah ancaman kepada masa depannnya sendiri.

Walaupun belum dapat dipastikan apa sebenarnya yang berlaku dan usaha ke arah menamatkan misteri ini sedang giat dilakukan, nampaknya sebagaimana banyak aspek lain boleh dijuruskan dalam sesuatu kejadian, kaitannya dengan politik dan persaingan kuasa antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim tetap mengambil tempatnya.

Biar sudah berkali-kali diingatkan agar sesiapa tidak menyebar spekulasi dan andaian mengenai tragedi ini, namun dalam dunia tanpa sempadan sekarang ini, bukan saja media dah pengguna internet dalam negeri yang berbuat demikian, malah sudah menjangkau ke pemikiran antarabangsa.

Sosok yang bernama Anwar yang baru-baru ini dihukum penjara lima tahun, dihalang daripada bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor seolah-olah "kambing yang sedang dicat hitam" sementara punca sebenar kehilangan pesawat itu masih dalam pencarian.

Yang ditunggu, apakah selepas ini rumah Anwar Ibrahim pula akan digeledah polis?

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722