AHMAD TAJDID
KITA sepakat untuk menyatakan kehilangan pesawat MH370 dengan 227 penumpang dari 14 negara sebagai satu tragedi hitam negara. Dan sehingga saat ini, rakyat Malaysia daripada segala lapisan kaum dan agama berharap dan berdoa moga pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang hilang dalam penerbangan ke Beijing sejak pagi Sabtu lalu selamat ditemui.
Tempoh penantian lebih 72 jam sejak insiden itu berlaku dinanti penuh debaran oleh rakyat negara ini apatah lagi keluarga mangsa. Namun berita-berita yang tersebar di alam maya berhubung insiden itu menambahkan resah dan tidak meredakan debaran dada.
Seorang pensyarah universiti tempatan menyifatkan berita-berita sensasi tentang kehilangan MH370 yang tersebar di alam maya sebagai 'mencemar institusi kewartawanan'. Berita dan ulasan yang berlegar di media sosial itu, jelas beliau tidak disahkan kebenarannya dan ini pastinya bertentangan dengan etika kewartawanan.
Memang diakui tindakan menyebarkan berita yang tidak diketahui sumber dan intergritinya itu boleh memudaratkan kepentingan awam. Bagaimanapun umum mengetahui bahawa maklumat yang didapati di alam siber bukanlah sesuatu yang boleh diterima bulat-bulat apatah lagi jika ianya tanpa sumber, bersifat 'cakap dengar' (hearsay) atau lebih teruk cuma 'salin dan tampal' (copy and paste).
Tapi jika kenyataan itu datang daripada seorang menteri apatah lagi menteri kanan, ia suatu yang perlu diberikan perhatian serius.
Oleh kerana itulah kita melahirkan rasa amat dukacita dengan sikap tidak cermat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilapor mengecam pegawai imigresen bertugas dalam insiden penggunaan pasport curi oleh dua penumpang pesawat MH370.
Zahid ketika bercakap dalam satu sidang media di Seri Perdana, Putrajaya, 9 Mac lalu menyifatkan pegawai imigresen berkenaan sebagai 'tidak boleh berfikir'.
"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu beliau berkata siasatan terperinci akan dilakukan terhadap Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Kita akan lakukan siasatan dalaman terutama ke atas pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA semasa penerbangan MH370," katanya.
Siasatan itu, ujarnya akan dijalankan pasukan khas diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.
Tidak sampai 24 jam selepas memberikan kenyataan 'tidak berlapik' itu, satu tamparan singgah di muka Zahid.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang akhbarnya mengesahkan bahawa dua penumpang lelaki pesawat MH370 yang menggunakan pasport curi itu tidak memiliki paras rupa Asia.
"Kami telah berulang-ulang melihat semua gambar video, mereka tidak menyerupai lelaki Asia," katanya kepada ratusan pemberita asing dan tempatan yang masih bersesak menghadiri sidang akhbar pada lewat malam, 10 Mac.
Beliau menegaskan selepas meneliti gambar-gambar video (CCTV) dari kawasan berlepas, semua protokol keselamatan telah dipatuhi.
"Ada kemungkinan wujud sindiket pasport curi," kata beliau.
Tamparan kedua dirasai Zahid ekoran sidang akhbar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat pada petang 11 Mac.
Aloyah mendedahkan bahawa penumpang yang menggunakan pasport curi warga Austria, Christian Kozel tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.28 malam 28 Februari.
Seorang lagi penumpang yang menggunakan pasport curi warga Itali, Luigi Maraldi tiba pada 8.31 malam dari Phuket, Thailand menerusi penerbangan QR849 Qatar Airways.
Kedua-dua mereka diberi pas lawatan sosial 90 hari.
Penumpang pertama diberi kebenaran untuk berlepas dari KLIA pada 8.07 malam manakala penumpang kedua pula mendapat kebenaran pada 8.31 malam.
Aloyah berkata, pegawai imigresen yang bertanggungjawab memberi kebenaran kepada kedua-dua penumpang itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila mendapati pembawa dan gambar di dalam pasport itu sepadan.
Alangkah baiknya bagi Zahid jika bersabar dan menunggu hasil siasatan sebelum mengeluarkan kenyataan mempertikaikan pegawai imigresen bertugas.
Jika sebelum ini kenyataan kontroversi Zahid banyak merujuk kepada isu-isu dalam negeri, namun kini ia menjadi perhatian antarabangsa kerana tragedi yang berlaku membabitkan warga, sempadan, tentera dan pemerintah asing.
Mungkin benar ulasan seorang pembaca:
"Institut Tadbiran Awan Negara (Intan) perlu membantu para menteri kita menangani stres, public speaking, enkod dan dekod data, risiko penyebaran maklumat penting, antara kepuasan diri bercakap dan kepentingan negara...
"Dedah kelemahan jentera sendiri dengan menegur dan memberi amaran keras secara terbuka hingga satu dunia tertanya-tanya. Di kala rakyat masih bersimpati dengan MH370 dan harga barang yang tidak menentu, lawak ayam seekor seringgit mengundang kritikan rakyat...
"Institusi yang melatih pegawai kanan kerajaan perlu berbuat sesuatu... Tegur, nasihat dan perbetulkan... Bijak sana-sini diperlukan untuk mentadbir negara dipersada rakyat dan dunia."
Biarlah teguran itu mengakhiri rencana ini.