Misi mencari dan menyelamat penerbangan Malaysian Airlines tersebut masuk hari keempat hari ini, bagaimanapun tiada sebarang petunjuk baru.
"Kami tidak menerima sebarang maklumat mengenai isyarat berpatah balik seperti dikatakan," kata sumber APMM kepada The Malaysian Insider.
The Malaysian Insider sebelum itu memetik laporan akhbar Berita Harian mengatakan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, menerima isyarat MH370 berpatah balik ketika di ruang udara Laut China Selatan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Misi mencari dan menyelamat pesawat MAS itu diperluas ke kawasan perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Perak berikutan isyarat pesawat berkenaan berpatah balik dikesan di lokasi tersebut.
Turut menerima isyarat pesawat berkenaan berpatah balik sebelum dilaporkan tiba-tiba terbang dengan ketinggian paras 1,000 meter dari kedudukan asalnya 10,000 meter, adalah Unit Kawalan dan Pengawasan Trafik Udara di Singapura.
"Pihak tentera udara belum memberi kami maklumat tersebut," kata sumber.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang pada mulanya dijalankan di kawasan terakhir pesawat dikesan berhampiran sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Vietnam kemudiannya diperluaskan ke Selat Melaka yang turut meliputi perairan Sumatera dan Laut Andaman.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Sri Rodzali Daud, pada malam insiden kehilangan pesawat, mengesahkan pangkalan udara di Butterworth mengesan isyarat kedudukan pesawat berkenaan yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Baru, Kelantan, sebelum dipercayai melalui ruang udara pantai timur dan utara tanah air.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu kemudian dilaporkan memasuki ruang udara Selat Melaka sebelum isyaratnya kali terakhir dikesan ketika berada berhampiran Pulau Perak, yang masih dalam perairan negara.
Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia dengan dibantu pasukan keselamatan yang terbabit dalam SAR, menjalankan gerakan mengesan pesawat berkenaan di perairan Selat Melaka dengan skop kawasan dibahagikan kepada lima zon pencarian membabitkan pelbagai pasukan.
Kemungkinan itu disokong dengan laporan polis oleh beberapa penduduk yang mendakwa melihat kelibat cahaya lampu besar dan pesawat terbang rendah, dengan anggaran ketinggian 1,000 meter dari paras laut di Kota Baru, Kelantan.
Penerbangan Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang pada jam 1.30 pagi Sabtu lalu selepas terputus hubungan dengan dengan menara kawalan trafik.
Sehingga hari ini, pesawat tersebut masih gagal ditemui dan tiada sebarang petunjuk baru, menjadikan kehilangannya semakin misteri. –