Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Bernas diarah henti kadar potongan tinggi

$
0
0

MALAYSIAKINI


 
 
 
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) supaya menghentikan segera kadar pemotongan yang tinggi hasil padi sehingga membebankan pesawah padi di seluruh negara.
  
Menurutnya, meskipun kadar pemotongan itu berdasarkan mutu padi yang dibeli, namun Bernas perlu mengambil kira kebajikan pesawah yang terdiri daripada masyarakat luar bandar.
  
"Walaupun saya telah mengumumkan penyelarasan harga padi baru-baru ini, tetapi kita tidak boleh mengharapkan mutu padi terus meningkat kerana kita perlu memberi masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk petani meningkatkan mutu padi masing-masing.
  
"Oleh itu saya minta Bernas jangan membuat pemotongan berdasarkan mutu sebenar sehingga boleh mengurangkan pendapatan pesawah berbanding sebelum ini", katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Peringkat Parlimen Bera di Dewan Rakan Muda Bera di Bera hari ini.
  
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Norol Azali Sulaiman dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Datuk Mohd Fadil Osman.
  
Tindakan Bernas yang didakwa memotong harga padi petani antara 28 dan 40 peratus selepas banjir November lalu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan petani yang terlibat.

Malah, sekumpulan pesawah padi di daerah Rompin, Pahang baru-baru ini turut mengadakan bantahan di hadapan Kilang Bernas Rompin terhadap tindakan itu yang disifatkan membebankan mereka.
  
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai langkah bagi membantu pesawah padi meningkatkan mutu hasil padi termasuk menggalakkan mereka mengamalkan kaedah penanaman baik untuk meningkatkan hasil dan mutu tanaman itu.
  
Beliau yang juga Anggota Parlimen Bera turut menyarankan petani supaya mendapatkan nasihat daripada jabatan dan agensi berkaitan sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah berhubung tanaman dan ternakan. Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722