Empat ranting baharu ditubuhkan secara rasmi pada majlis perasmian Pusat Khidmat PKR Cabang Maran itu.
MARAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang akan memberi tumpuan kepada setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, tumpuan itu antara strategi parti untuk menguasai kawasan Parlimen yang dilihat berpotensi tinggi berpihak kepada pembangkang.
Menurutnya, kejayaan Pakatan Rakyat (PR) menguasai beberapa Parlimen termasuk Kuantan, Indera Mahkota dan Temerloh membuktikan sokongan rakyat semakin meningkat kepada PR.
“PKR akan beri tumpuan pada kerusi DUN termasuk Luit yang dilihat berpotensi memihak kepada PR berdasarkan keputusan PRU13 lalu.
“Kita akui kelemahan PRU13 lalu kita terlalu tumpu kepada kerusi Parlimen.
“Jadi saya beri peringatan kepada Umno agar bersedia untuk hadapi strategi PKR bagi menguasai negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Khidmat PKR Cabang Maran, di sini.
Fauzi berkata, PR sedang mengatur langkah memperkuatkan sokongan penduduk kawasan luar bandar termasuk tanah rancangan Felda.
Menurutnya, ahli PR juga diminta miliki ilmu berkaitan isu semasa dan perjuangan parti untuk berhujah dengan penduduk agar mereka berpihak kepada PR.