Walaupun dikritik hebat oleh kumpulan Melayu berhaluan kanan, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mempertahankan kehadirannya ke gereja pada pertengahan Februari lalu kerana berjaya menjernihkan salah faham yang berlaku di antara kepercayaan dua agama.
Ketua pembangkang itu berkata, kehadirannya ke gereja bukanlah sesuatu yang baru tetapi sejak beliau berkecimpung dalam badan bukan kerajaan (NGO) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi.
"Saya orang Islam. Jesus bermaksud Isa. Saya tak kata Isa sahaja, saya kata Isa alaihissalam (sejahtera ke atasnya). Ada yang bertanya saya doakan untuk Jesus, saya kata ya, untuk Nabi Isa," katanya dalam kuliah Maghrib di Surau Al-Muqaddis, Kajang, malam ini.
"Gereja ada saliblah. Bukan saya pergi gereja tetapi dewannya. Masa saya Abim, saya pergi. Soalnya masa saya pergi, saya kata bahawa Islam menghormati perbezaan kaum dan warna kulit."
Anwar, semasa berucap di Gereja Holy Family di Kajang pada bulan lalu, berkata pihak tertentu sedang mengeruhkan lagi hubungan antara agama dan kaum berikutan beberapa insiden, tetapi penyebab masalah dilepaskan begitu sahaja sementara yang tidak bersalah ditangkap seperti penjenayah.