Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid menyifatkan keputusannya merebut jawatan kedua tertinggi dalam kepimpinan PKR sebagai satu tanggungjawab untuk memperbaiki asas parti, sambil menyifatkan wujudnya beberapa kelemahan dalam parti.
Katanya, biarpun semangat perjuangan parti itu dilihat berkobar-kobar, sebenarnya ia mempunyai kelemahan dari segi pelaksanaan.
"Dari segi pelaksanaan, nampaknya ada yang tidak betul, ada yang betul, ada yang tahu dan tidak tahu, ada yang indah dan tidak indah," kata Khalid, yang mengesahkan semalam akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR, yang kini disandang seterunya Azmin Ali.
Katanya, beliau lebih senang apabila perjuangan yang bakal dilalui bersama parti itu ditunjangi dasar kesaksamaan dan keadilan yang lebih baik.
"Peranan saya adalah untuk menambah baik keadaan dan apabila ia sudah berubah maka saya perlu memberi peluang kepada semua ahli untuk mempimpin parti ini pada masa hadapan," katanya dalam majlis "Malam Bertaut Kasih" di kediamannya, malam tadi.
Program tersebut disertai kira-kira 200 penyokong Khalid dan pegawai negeri, termasuk Senator Syed Shahrir Syed Mohamad; pakar perlembagaan, Dr Abd Aziz Bari; calon ketua Angkatan Pemuda Keadilan, Nazree Yunos; serta bekas pengerusi, PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub.
Terdahulu, Khalid mengumumkan akan bertanding jawatan nombor dua PKR itu, mengesahkan spekulasi sebelum ini.
"Saya menawarkan diri untuk menerima tawaran saudara bertanding sebagai timbalan presiden PKR," katanya disambut tepukan.
Dalam ucapannya, Khalid meminta penyokong tidak terlalu teruja dengan keputusannya, sebaliknya menumpukan usaha memenangkan calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.
"Dalam usaha menubuhkan satu pasukan, kita perlu mengambil kira keadaan dengan menjaga supaya rumah kita tidak runtuh dan keadaan meruncing.
"Jadi saya ada permintaan kerana ia boleh menjadi detik kejatuhan dalam parti dan tidak guna memperjuangkan sekiranya kita sendiri tidak boleh mempertahankan kemenangan PRK Kajang.
"Parti ini mempunyai kekuatan dan kesaksamaanya. Maka saya minta dalam tempoh sebulan, biarpun rakan saya suka nak berkempen, tapi jangan lupa akan agenda utama kita dan tidak mahu sekiranya ia menjejaskan usaha memenangi PRK," katanya.
Tambahnya, kemenangan di Kajang kelak mengukuhkan lagi parti untuk bersaing bukan sahaja dengan Barisan Nasional (BN), tetapi juga dengan parti Pakatan Rakyat (PR) lain seperti PAS dan DAP.
Malam tadi, ucapan bekas tokoh perniagaan yang dilantik memimpin Selangor sejak kemenangan PR di negeri itu pada 2008, berbeza jauh daripada kritikan ahli pimpinan parti yang menyifatkannya tidak mesra politik.
"Saya menerima banyak kebaikan daripada PKR namun ia bukan kerana atas dananya atau harta namun kerana ruang dan peluang yang diberikan.
"Wujudnya parti kita adalah untuk memperjuangkan bersama saya menerima amanah tuan dan puan supaya mengurus dengan tertib, supaya berkerja dengan lebih bertanggungjawab, bersih daripada rasuah, supaya kita rasa megah mengetuai negeri dihormati dan disegani semua pihak serta dapat menjaga kepentingan ahli parti dan PR," katanya.
Khalid dan Azmin dilihat tidak sebulu dan bersaing antara satu sama lain, dan perkelahian mereka diburukkan lagi dengan pemecatan Azmin daripada anak syarikat negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.