Dr Asyraf Wajdi Dusuki  
 Dr Asyraf Wajdi Dusuki


BANGI - Kerajaan Malaysia menolak sekeras-kerasnya penyebaran ideologi fahaman Syiah dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana ia bertentangan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun kerajaan giat membendung sebarang cubaan tersebut namun kewujudan Syiah tidak boleh dinafikan khususnya dalam menjaga hubungan diplomatik.

Menurutnya, terdapat perbezaan utama antara mengiktiraf ideologi akidah dan mengakui kewujudan mereka.

"Sebab itu kita harus halang dan tidak menerima perkara tersebut daripada tersebar di negara ini kerana dia boleh mengakibatkan kemudaratan lebih besar.

"Jadi dalam konteks ini, penting pemerintah memainkan peranan memartabat Syariah Islam demi memelihara agama," katanya kepada Sinar Harian Online pada wacana Pemantapan Akidah: Mendepani Ancaman Kristianiasi, Liberalisme & Syiah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KUIS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tohmahan pemimpin pembangkang yang mendakwa lawatan kerja rasmi menteri Kabinet ke Iran sebelum ini disifatkan sebagai mengiktiraf ideologi mereka yang berfahaman Syiah.

Tambah beliau, jika hubungan tersebut untuk tujuan diplomatik dan soal kenegaraan, perkara itu tidak menjadi kesalahan kerana ia tidak melibatkan akidah.

"Pastinya pemimpin kita bijak dalam mengaturkan sesuatu dan tidak akan  mengambil peduli permintaan melampaui batas sekiranya mahu mengamalkan Syiah.

"Seperti pelancong dari Iran yang datang ke sini, asalkan mereka tidak sebarkan fahaman mereka ia tidak menjadi kesalahan selagi tidak lewati garisan konteks negara kita," katanya lagi.