SHAH ALAM – Turun ke jalanan untuk protes kenaikan kos sara hidup dilihat bukan kaedah terbaik menangani masalah, kata penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.
Beliau menasihatkan agar rakyat bersabar sehingga kerajaan menemui mekanisme menyelesaikan isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tersebut.
Sebelum ini, PR memberitahu bakal membuat keputusan sama ada mahu mengadakan bantahan besar-besaran atau tidak, esok dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR.
Menurut Atory, rakyat perlu mendengar penerangan daripada kerajaan berhubung kenaikan itu.
“Lebih baik kita dengar dulu penerangan daripada kerajaan. Belum tahu lagi kadar kenaikan. Jadi, sabarlah sedikit.
“Saluran untuk mengadakan rundingan tetap ada. Kalau tak demonstrasi pun tak apa. Lebih baik gunakan saluran parti politik dan badan bukan kerajaan yang ada ini,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, bukan parti pembangkang sahaja yang prihatin dengan kenaikan kos sara hidup rakyat, parti kerajaan juga turut prihatin.
“Pemuda Umno juga membangkitkan isu ini ke kabinet. Jadi, bukan pembangkang sahaja... parti pemerintah juga prihatin dengan harga barang naik ini.
“Biar mereka (BN) berdialog dulu, kita tengok hasilnya bagaimana. Demonstrasi ini mungkin saluran yang terakhir. Nak halang pun tak boleh kerana perhimpunan aman dibenarkan oleh kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyentuh soal penguatkuasaan terhadap harga barang yang dilihat kurang berkesan.
“Pada pandangan saya penguatkuasaan itu penting. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu perlu menjalankan kerjanya dengan berkesan.
“Saya lihat penguatkuasaan kurang berkesan. Harga naik mendadak itu kadang-kadang tidak dipantau. Kawalan harga itu mesti dan perlu sentiasa dipantau.
“Persatuan peniaga perlu memantau sama juga. Mereka sama-sama bertanggungjawab mengekang kenaikan harga itu,” katanya.
Sementara, Prof Madya Dr. Shaharuddin Badaruddin berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mempraktikkan ‘kerajaan mendengar’ terhadap keluhan rakyat.
“Pertimbangan perlu dilakukan kerana apabila naik serentak, rakyat akan merasa terhimpit dengan kenaikan itu. Nak tak nak, proses rundingan itu perlu dilakukan.
“Perdana Menteri selalu menyatakan bahawa kita ini kerajaan yang mendengar, jadi, tiba masanya kerajaan mendengar. Adakah benar rakyat betul-betul terhimpit? Kalau betul-betul terhimpit, kena tengok balik,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa kerajaan tidak boleh menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati tanpa berunding.
“Perkara seperti ini kena berunding. Dalam proses kerajaan ini, kena ada ‘check and ballance’. Rundingan perlu dilakukan. Kerajaan tak boleh menaikkan (harga) sesuka hati.
“Kena berunding dengan pihak...jangan hanya sebelah pihak sahaja dan jangan bergantung pada kelompok peniaga sahaja.
“Kerajaan perlu mendengar daripada persatuan pengguna, badan bukan kerajaan, parti politik, kumpulan pendesak tertentu dan sebagainya,” katanya.
Turut berpandangan sama dengan Atory, Shaharuddin menyifatkan turun ke jalanan ini sebagai kaedah terakhir jika rundingan tidak dapat dijalankan.
“Turun ke jalanan ini cara paling akhir apabila rundingan tak dapat dijalankan ataupun selepas pandangan tidak mendapat jawapan, maka akhirnya, ia pergi cara yang terakhirlah iaitu turut ke jalanan. Itu merupakan kaedah untuk mereka menyatakan pandangan mereka.
“Mungkin badan bukan kerajaan dan parti politik yang berkait rapat dengan PR merasakan bahawa mereka sudah mencapai siling dalam proses rundingan. Jadi, kerana itulah mereka mengambil jalan terakhir dengan mengadakan protes dan tunjuk rasa di jalan,” katanya.
Beliau berpendapat kemungkinan pembangkang sudah tidak mampu bertolak ansur apabila kenaikan harga barangan berlaku secara mendadak.
“Soal berkesan atau tidak itu atas pertimbangan parti politik. Pembangkang merasakan ia sudah tak boleh ‘tolerate’ lagi kerana kebetulan kenaikan harga barang itu berjalan serentak.
“Tarif elektrik, tol, pengurangan subsidi minyak dan gula berjalan serentak tanpa pendekatan bertahap, itu yang membuat mereka mengemukakan pandangan mereka ke jalanan. Mungkin pembangkang merasakan ini masa yang paling baik,” katanya.