Selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) disaman RM2 juta oleh bekas calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, PKR hari ini memberi jaminan kes saman tersebut akan dapat diselesaikan dengan baik.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Shamsul berdegil meneruskan saman terhadap Hadi walaupun beliau dinasihati untuk tidak berbuat demikian.
"Pimpinan PKR mengambil pendirian sebelum ini bahawa kes saman berkenaan tidak perlu diteruskan.
"Namun Shamsul bertegas beliau perlu membersihkan nama dan maruahnya akibat dakwaan yang dibuat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)," katanya dalam satu kenyataan hari ini di Kuala Lumpur.
Abdul Hadi diarahkan membayar saman RM2,000,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dalam penghakiman ingkar yang diperoleh Shamsul.
Selain itu, Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5% faedah daripada writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Ini berikutan kegagalan Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.
Bagaimanapun, Peguam PAS, Asmuni Awi ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Abdul Hadi disaman Shamsul ekoran dakwaannya bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang PRU13 lalu.
Ekoran dakwaan itu, PAS meletakkan calonnya di tiga kerusi DUN di Terengganu yang sepatutnya ditandingi PKR.
Ia menyebabkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PAS dan PKR ditiga DUN di Terengganu termasuk Bukit Besi yang ditandingi Shamsul.
Sebelum ini, menjelang pilihan raya kecil Kuala Besut, Shamsul meminta Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf berikutan kenyataannya menjelang pilihan raya umum itu kerana orang ramai menganggap beliau yang didakwa Abdul Hadi itu.
“Saya minta (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang dedahkan siapa yang dia fitnah sebagai pengedar pil kuda dan sokong komunis ketika berceramah di Tebakang, Alor Limbat, ketika kempen PRU lalu,” kata Shamsul dalam sidang media itu.
Ekoran kegagalan Abdul Hadi berbuat demikian, beliau memfailkan saman itu.
Pimpinan PKR berkata Fahmi bagaimanapun akan mengambil langkah perlu untuk membolehkan kes ini dapat diselesaikan dengan baik dan penuh hikmah, demi kebaikan serta kesepakatan Pakatan Rakyat.