HANYA mampu menyewa, begitulah luahan ramai warga Kuala Lumpur mutakhir ini yang tersepit dalam usaha memiliki rumah idaman sendiri. Adapun yang mampu membeli rumah bertanah terpaksa membeli di negeri berhampiran Kuala Lumpur iaitu Negeri Sembilan dan pinggir Selangor.
Namun bagi warga kota, bukanlah rumah bertanah yang mereka inginkan, hanya sekadar rumah pangsa atau kondominum yang boleh memuatkan antara lima hingga tujuh orang sebumbung, namun ianya juga kini makin sukar.
Mungkin situasi ini tidak berlaku di Melaka, Terengganu atau Pahang, namun kebanyakan penghuni Kuala Lumpur khasnya generasi muda dan golongan kelas pertengahan menghadapi kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan harga rumah yang melambung tinggi.
Memiliki kediaman sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan apatah lagi sudah mempunyai keluarga sendiri.
Namun, hakikatnya harga rumah terutamanya di Kuala Lumpur dianggap menakutkan dan seolaholah tidak masuk akal jika dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah majoriti rakyat.
Tidak kira apa jenis sekalipun sama ada rumah pangsa, teres setingkat, dua tingkat, apartmen dan kondominium semuanya melambung tinggi bukan hanya di kawasan bandar yang pesat membangun bahkan di pinggir-pinggir bandar seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang, Nilai dan kini menjalar ke Seremban.
Tidak kira sama ada rumah tersebut adalah rumah baru atau penjualan rumah lama (second hand) harga keperluan asas tersebut semakin naik kirakira 40 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Apabila rumah di Kajang, Bangi dan pinggir bandar Kuala Lumpur meningkat, kini warga kota mula membanjiri Seremban dan Nilai untuk memiliki rumah bertanah ‘mampu milik’ kepada mereka.
Bagaimanapun, sejak lima tahun kebelakangan ini harga pasaran rumah di Seremban juga meningkat secara mendadak akibat aktiviti penghijrahan warga kota memiliki rumah di Negeri Sembilan.
Benar dasar kerajaan Negeri Sembilan menjadikan Seremban sebagai destinasi penginapan warga kota, namun kegagalan kerajaan mengawal harga rumah menyebabkan rakyat kini terbeban dengan kenaikan, tidak dikira lagi dengan kadar faedah yang sangat tinggi dikenakan oleh bank.
Lihat sahaja di Seremban 2, 10 tahun lalu rumah teres dua tingkat berkeluasan 2600 kaki persegi hanya dijual pada harga RM198,000 seunit.
Sementara harga Rumah Cluster dan Semi-D pada 10 tahun lalu antara RM280,000 hingga RM400,000.
Namun, limpahan kemajuan dan pembangunan serta meningkatnya penduduk Lembah Kelang berhijrah untuk memiliki rumah selesa di Seremban 2, kini harga rumah teres dua tingkat naik kepada RM500,000 dan ke atas.
Sementara harga Rumah Cluster dan Semi-D meningkat kepada RM650,000 mengikut saiz dan reka bentuk.
Seorang wakil pemaju yang enggan dikenali di Seremban berkata, rata-rata harga rumah yang dijual melalui projek perumahan baru dengan reka bentuk “high–end” dengan keluasan 22 x 75 kaki persegi dijual pada harga RM500,000 ke atas.
Malah katanya harga yang ditawarkan tidak banyak beza antara satu pemaju dengan pemaju yang lain.
Di kawasan pinggir bandar, Bandar Sri Sendayan sebagai contoh harga rumah teres dua tingkat baru dengan reka bentuk moden terkini boleh mencecah RM600,000 ke atas (harga rumah tengah).
Jika ada rumah teres dua tingkat sekunder pun kini harganya dalam lingkungan RM450,000 ke atas, itu pun mengambil kira faktor lokasi, keadaan rumah dan keadaan persekitaran.
Pilihan untuk keselesaan golongan pertengahan terletak pada jenis rumah teres setingkat empat bilik, bagaimanapun tidak banyak pemaju yang membina rumah jenis tersebut.
Mungkin pada pandangan mereka adalah lebih berbaloi pada tanah yang sama dibina rumah teres dua tingkat pada harga pasaran sekarang.
Persoalannya, tawaran harga rumah yang semakin melambung tinggi dari hari ke hari sekarang ini adakah ia memenuhi keperluan majoriti rakyat di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan atau kawasan berhampiran ini iaitu golongan pertengahan?
Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga rakyat yang berpendapatan sederhana iaitu purata jumlah isi rumah RM6,000 sebulan.
Rumah jenis apartmen atau kondominium juga tidak kurang hebatnya dan boleh dikatakan agak serupa sahaja harga melambung tinggi walhal ianya tidak melibatkan tanah yang banyak.
Golongan pertengahan terutama golongan muda yang baru berumah tangga menyasarkan memiliki rumah yang berharga dalam lingkungan RM200,000 ke bawah.
Namun hasil tinjauan Harakah sejak tahun lalu, tiada lagi rumah teres setingkat atau dua tingkat di kawasan sekitar Seremban mahupun menghala ke Nilai, dan Kuala Lumpur dengan harga pasaran RM200,000.
Kebanyakan harga rumah teres setingkat (tiga bilik) mencecah RM250,000 (di Bandar Sri Sendayan, Taman Bandar Senawang, Warisan Puteri).
Terdapat pemaju yang mula membangunkan rumah teres setingkat pada keluasan 22x80 dengan kapasiti empat kamar tidur dan tiga buah tandas, namun harganya kini antara RM350,000 ke RM650,000 mengikut reka bentuk, kawasan dan keluasan serta material tambahan yang disediakan.
Dengan keadaan peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat ditambah pula nilai wang semakin mencengkam, adakah layak rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga pasaran sekarang yang ditambah dengan komitmen lain seperti bayaran bulanan kenderaan dan lain-lain?
Ramai penganalisis hartanah menjangkakan harga bagi rumah teres setingkat dijangka mencecah harga RM800,000 seunit menjelang tahun 2020, atau lebih awal berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun.
Tidak mustahil harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang memandangkan kegiatan spekulator mengatur harga rumah.
Rumusannya, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, seseorang yang mahu memiliki sebuah rumah teres setingkat (tiga bilikempat bilik)sekurangkurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.
Pada asasnya, golongan pertengahan, golongan berpendapatan RM6,000 ke bawah ketika ini masih lagi gagal memiliki harta biarpun untuk memiliki sebuah rumah teres setingkat tiga bilik atau rumah apartmen yang sedikit selesa akibat kenaikan harga rumah yang melampau ini.
Pihak mana yang harus dipersalahkan andai suatu hari nanti ada rakyat yang terpaksa merempat di bahu-bahu jalan membina khemah, atau rumah haram dengan berdindingkan papan jika mereka tidak lagi mampu menyewa, atau memiliki rumah sebagai tempat berteduh.