RM174 billion bukanlah suatu jumlah yang kecil dan sekiranya ia benar-benar berlaku, ini adalah satu kerugian yang besar kepada negara
Oleh Zaim Zahed
Baru-baru ini Global Financial Integrity (GIF), satu badan yang mempunyai misi untuk membantu membanteras masalah aliran wang langkau sempadan secara haram, telah melancarkan edisi terbaru laporan berkenaan isu pengaliran wang haram dunia.
Menurut laporan ini, negara kita berada di tempat keempat di kalangan negara membangun (selepas Rusia, China, dan India) berdasarkan kepada jumlah aliran keluar wang secara haram. Dianggarkan sebanyak USD54.18 billion (RM 174 billion) telah mengalir keluar dari sempadan negara ini secara haram padatahun 2011.
Sememangnya, RM174 billion bukanlah suatu jumlah yang kecil dan sekiranya ia benar-benar berlaku, ini adalah satu kerugian yang besar kepada negara kerana wang tersebut jika kekal berada dalam sempadan negara mungkin boleh digunakan untuk tujuan yang lebih produktif. Liputan oleh media tempatan pula menunjukan seolah-olah aliran keluar wang tersebut itu adalah wang haram dari hasil korupsi.
Adakah ini benar?
Sebelum kita menjawab persoalan tersebut, terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian dalam kita menilai sejauh-mana ketepatan penemuan laporan setebal 68 mukasurat ini. Pertama, dapatan yang diperolehi oleh kajian ini hanyalah satu anggaran dan ianya diperolehi melalui metodologi yang berasaskan kepada beberapa andaian yang tidak berapa tepat.
Apa yang menjadi tumpuan hanyalah angka RM 174 billion tersebut. Kedua, persoalan bagaimana angka tersebut dicapai dan sejauhmana ianya menggambarkan situasi sebenar lansung tidak disentuh.
Berbalik kepada persoalan diatas, adakah RM174 bilion ini wang haram? Jawapannya ringkas, dari laporan ini sendiri, adalah tidak. Diangarkan 80 peratus daripada aliran wang haram ini berpunca dari ‘trade misinvoicing’, manakala bakinya adalan aliran wang keluar dari pekerja asing di negara ini.
Jelas, RM 178 billion ini bukannya wang korupsi. ‘Trade misinvoicing’ ini berlaku kerana banyak syarikat, terutamanya syarikat multi-national, tidak jujur dalam pengisytiharan nilai eksport mereka.
Dalam eri kata lain, syarikat yang mengeksport mungkin tidak merekodkan eksport mereka, atau mengisytiharkan nilai yang berlainan.
Jika difikirkan, kenapa Rusia, China, India dan Malaysia menduduki empat tangga teratas?
Jawapannya mudah dan sudah dijangkakan, kerana negara-negara ini adalah negara pengeksport terbesar di kalangan negara membangun. Secara logiknya, nilai ‘trade misinvoicing’ juga adalah tinggi berbanding dengan negara lain.
Satu lagi isu yang perlu diberikah perhatian di sini adalah kajian ini tidak menyatakan jumlah aliran masuk wang haram ke dalam sesebuah negara dengan alasan bahawa tiada sebarang timbalbalik yang berlaku diantara wang haram yang mengalir masuk dan wang haram yang mengalir keluar.
Tetapi dengan mengambilkira aliran wang masuk maka boleh dipastikan samada wang yang mengalir keluar adalah dari sumber negara itu tersendiri ataupun datang dari negara lain yang menjadikan negara tersebut hanya sebagai persinggahan. Jika dapat dipastikan senario manakah yang lebih relevan melalui kajian yang lebih mendalam, maka implikasi kepada negara berkenaan juga adalah berbeza.
Di dalam kes Malaysia contohnya, sekiranya dari USD54.15 billion (RM173.8 billion) yang mengalir keluar itu, 90% adalah dari sumber luar maka sudah tentu kesannya kepada ekonomi negara tidak seserius senario di mana 90% dari aliran itu adalah dari sumber tempatan.
Dalam kes pertama, isunya adalah lebih kepada Malaysia sebagai sebuah negara transit wang haram manakala dalam kes kedua isunya pula adalah lebih kepada kegagalan Malaysia untuk mengawal pengaliran wang keluar negara. Implikasi dasarnya dari segi apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam membendung masalah tersebut juga adalah berbeza dalam kedua-dua senario ini.
Namun, dengan hanya memberi fokus kepada aliran keluar wang sahaja maka kajian ini tidak membantu dalam mengenalpasti apakah langkah yang boleh diambil oleh negara-negara yang terlibat.
Secara keseluruhannya, walaupun tidak dinafikan niat murni badan ini dalam membantu membanteras aktiviti haram yang secara jelas akan menjejaskan kemakmuran ekonomi dunia dalam jangka panjang, laporan ini bukannya dijadikan kayu ukuran mengenai situasi wang haram di negara kita, terutama jumlah nilai korupsi di Malaysia. Kita haruslah sentiasa objektif dan jujur dalam menilai laporan sensasi sebegini.
Penulis merupakan pengkaji ekonomi yang kini bertugas di Kuala Lumpur