Sebuah lagi persatuan pendidikan mendesak Kementerian Pelajaran menangguh pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang baru dilaksanakan tiga tahun lalu.
Kumpulan Tindakan Keluarga untuk Pendidikan Malaysia (Page), sebuah kumpulan pro pendidikan English berkata, PBS dilaksanakan dengan buruk sekali walaupun tujuannya baik.
Setiausaha Kehormat Page, Tunku Munawirah Putra berkata, pelaksanaan terburu-buru PBS menyusahkan para guru manakala ibu bapa pula tertanya-tanya bagaimana anak-anak mereka dinilai.
"Sistem PBS adalah satu perubahan sistem secara keseluruhan berbanding beberapa perubahan yang dibuat sebelum ini.
"Ia dilakukan secara tergesa-gesa tanpa penyeliaan yang wajar. Terlalu banyak ketidaktentuan dalam PBS," kata Tunku Munawirah dalam satu kenyataannya hari ini.
PBS dilaksanakan pada 2011 untuk pelajar darjah satu dan pada 2012 untuk pelajar tingkatan satu bagi menggantikan sistem lama dalam penilaian pelajar memahami subjek yang diajar melalui ujian pertengahan dan hujung tahun.
Ia sebahagian usaha kerajaan melahirkan pelajar serba boleh berbanding sistem berdasarkan peperiksaan semata-mata.
Tiada peperiksaan tahunan dalam PBS. Setiap hari, guru akan menilai pelajar berdasarkan enam – band bermula band-1 (rendah) ke band-6 (tertinggi).
Data dimasukkan setiap hari ke sistem komputer berpusat.
Ramai guru mengadu sistem komputer selalu sahaja sesak dan tidak boleh diakses.
Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin berjanji akan mengkaji balik PBS Online dan memberikan masa sehingga April ini.
"PBS memerlukan guru menilai pelajarnya secara individu. Ini akan menyebabkan ketidakselarasan dalam markah.
"Penilaian guru akan subjektif dan berbeza di kalangan guru dan sekolah yang berbeza," kata Tunku Munawirah.
Selain itu, guru juga membuat aduan sistem PBS memberikan bebanan tambahan kepada mereka untuk memasukkan data PBS ke dalam komputer setiap hari.