Jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara ini ialah Ahmad Zahid Hamidi dan Mat Sabu untuk diberi peluang berjumpa dan berbincang, kata Ibrahim Ali.
KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali mencadangkan satu rundingan diadakan bagi menyelesaikan tuduhan mengamalkan fahaman Syiah terhadap Mohamad Sabu.
Menurut Presiden Perkasa itu, jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara ini ialah dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS Mohamad untuk diberi peluang berjumpa dan berbincang.
“Saya berpendapat Mat Sabu harus diberi peluang untuk membela diri dan Zahid pula ada hak sebagai menteri untuk menjalankan tugasnya menjaga keselamatan negara,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Perkasa hari ini.
Ibrahim menambah bahawa tuduhan itu sebenarnya bermula dari dalam PAS sendiri.
“Mat Sabu ini masa pemilihan PAS jawatannya dicabar ada pihak yang cuba jatuhkannya yang gunakan tuduhan ini.
“Tapi ini babit soal akidah dan tak mudah nak buktikan,” katanya.
Ibrahim bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau menghormati keputusan mereka jika mahu melanjutkan perkara ini ke mahkamah.
Sementara itu, Ibrahim turut mempersoalkan kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata beliau pernah menemui pemimpin Syiah Ayatollah Khomeini pada awal tahun 1980 di Iran.
“Kalau dia pernah jumpa Khomeini mesti ada bukti seperti gambar yang digembar-gemburkan,” katanya sambil mengakui ketulenan gambarnya bersama Khomeini yang berlegar di internet.
Terdahulu, Ibrahim mengumumkan Persidangan Agung Perkasa yang akan berlangsung Dis 22 ini.
Persidangan yang bertemakan ‘Mendaulatkan Perlembagaan Negara dan Agenda Bumiputera Sejahtera Untuk Semua’ akan dihadiri oleh lebih 1200 perwakilan dari seluruh negara.
Ibrahim menambah bahawa persidangan Perkasa kali ini akan dirasmikan oleh ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Perkasa mengiktiraf beliau sebagai seorang negarawan berdasarkan rekod beliau.
“Sebelum ini Perkasa sering dilabel sebagai organisasi yang rasis jadi kita gembira Tengku Razaleigh setuju untuk rasmikan persidangan kita dan teruja untuk dengar apa yang beliau ingin sampaikan,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, persidangan kali ini akan memberi fokus kepada agenda ekonomi Bumiputera yang masih ketinggalan dalam ketika Malaysia sedang menuju ke status negara maju menjelang tahun 2020