MSTAR ONLINE
PETALING JAYA: Pembakaran secara terbuka, kebakaran gambut dan berlukar mencatatkan sebanyak 305 kes sehari di seluruh negara.
Sebanyak 5,485 kes kebakaran seumpama itu dilaporkan dalam tempoh 18 hari pertama pada bulan ini, berbanding 440 kes bagi seluruh bulan Februari tahun lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, musim kemarau merupakan punca utama peningkatan 1,100% kes itu.
Beliau berkata, ia turut berpunca daripada mereka yang cuai membuang puntung rokok sewenang-wenangnya.
"Dalam satu keadaan biasa, pembakaran terbuka boleh dikawal. Tetapi ketika musim kemarau, percikan api boleh menyebabkan kebakaran yang boleh merebak dengan cepat," katanya.
Beliau memberitahu The Star bahawa anggotanya sedang berusaha untuk menyelesaikan kes kebakaran di Terengganu, Selangor, Pahang, Perlis, Kedah dan Perak.
"Seramai 212 anggota berusaha memadamkan kebakaran seluas 1376.6 ekar (557 hektar) tanah.
"Kita telah memadamkan kira-kira 1270.3 ekar (514 hektar) bagi kawasan yang terjejas, dan mewujudkan penghalang api bagi mengelakkan kebakaran daripada terus merebak," kata Wan Mohd Nor.
Beliau berkata, setakat antara pukul 8 pagi Isnin dan 8 pagi Selasa, negeri-negeri yang mencatatkan jumlah kes kebakaran yang tingi adalah Perak (70), Selangor (66), Kedah (63), Melaka (39), Johor (28) dan Pulau Pinang (26).
Wan Mohd Nor berkata, tekanan air rendah dari pili bomba merupakan antara masalah yang dihadapi anggotanya.
Beliau menjadikan contoh apabila tangki air terpaksa dibawa untuk memadam kebakaran di Tok Kah di Dunggun, Terengganu.
Beliau turut berkata, anggota bomba sering kali terpaksa menggunakan air dari kolam dan sungai.