PETALING JAYA: Tarikh pencalonan Ahli Parlimen Belia yang sepatutnya diadakan pada hari ini (Rabu) hingga 28 Februari terpaksa ditunda ke tarikh yang baharu kerana masalah teknikal membabitkan sistem pengundian.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu terpaksa dibuat bagi mengelak sebarang masalah yang boleh menimbulkan pertikaian terhadap kredibiliti Parlimen Belia.
"Jangan rumah siap pahat berbunyi. Saya amat kesal dengan segala kesulitan dan masalah yang dihadapi semua pendaftar Parlimen Belia. Saya mohon maaaf di atas perkembangan ini.
"Saya amat berharap agar mereka yang sudah berdaftar dapat bersabar, sementara kita dapat memperbaiki keadaan ini," kata Khairy.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya pagi Rabu bagi menjawab segala persoalan yang timbul akibat masalah teknikal di laman web program tersebut.
Setakat ini, Khairy berkata kira-kira 210,000 belia telah mendaftar sebagai pemilih bagi Parlimen Belia.
Jelas Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha untuk mengatasi masalah teknikal yang dikenal pasti sewaktu proses audit dilakukan terhadap sistem pengundian.
"Oleh itu, tarikh pencalonan dan pengundian Parlimen Belia terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak," katanya.
Sehubungan itu, Khairy berkata, laman web Parlimen Belia sudah ditutup kerana beberapa kelemahan perlu diatasi sebelum pengundian dijalankan.
"Saya dimaklumkan bahawa ramai pendaftar Parlimen Belia menghadapi masalah untuk memasuki laman web tersebut sejak Jumaat lalu dan timbul banyak persoalan tentang simulasi yang sepatutnya diadakan minggu ini," katanya.
Namun, Khairy tidak menyatakan tempoh penutupan laman web tersebut.
Sementara itu, Khairy turut menegaskan bahawa program Parlimen Belia akan terus diadakan pada tarikh baharu yang akan diumumkan nanti.
"Saya juga ingin merakamkan rasa penghargaan kepada semua yang sudah berdaftar sebagai pengundi Parlimen Belia. Anda semua boleh mengunjung laman sosial parlimen belia di Twitter (@MYParlimenBelia) dan Facebook (Parlimen Belia Malaysia Official) untuk maklumat selanjutnya," katanya.
Parlimen Belia Malaysia (PBM) dijangka bersidang pada April ini manakala hari pengundian akan diadakan pada Februari atau Mac.