Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Bola sepak: Dua pasukan bergaduh, al-Quran diperlekeh

$
0
0


HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Kesucian al-Quran tidak seharusnya direndah-rendahkan dengan dijadikan alat untuk bersumpah bagi membuktikan seseorang berada di pihak yang benar, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah.

Beliau berkata, apa yang lebih dikesali apabila al-Quran digunakan sebagai alat untuk bersumpah melibatkan dua pasukan bola sepak yang bergaduh.

"Bola sepak hanya senaman untuk berhibur dan sukan untuk mengeratkan perpaduan tetapi Mashaf al-Quran yang merupakan kalam Allah yang mulia digunakan tanpa memberi penyelesaian apa-apa.

"Pihak yang dianggap mangsa dan pemain yang dianggap saksi mula bersumpah dengan mashaf al-Quran bagi menyatakan kebenaran kata-kata mereka, sedangkan pihak yang didakwa diam dan sepi tersenyum. Sudah pasti, satu-satu pihak telah berbohong dalam sumpahnya dan mula menghina al-Quraan dengan penipuannya, walaupun tidak diketahui pihak mana," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengadakan majlis sumpah dengan Al-Quran untuk pemain dan jurulatih pasukan bolasepak T-Team.

Ia berhubung insiden dalam terowong yang melibatkan T-Team dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin, Johor Baharu pada 1 Feb lalu.

Mohd Nor juga berkata, para ulama telah menghuraikan dengan jelas dalam tulisan mereka mengenai hukum penggunaan Al-Quran dalam sumpah termasuk sifat golongan munafik yang selalu bersumpah untuk membenarkan kata-kata mereka.

"Al-‘Aini berkata : “Dan di sisiku bahawa kalau bersumpah dengan mashaf al-Quraan,  meletakkan tangan di atas mashaf atau berkata : Demi Hak kemuliaan Al-Quraan !, ia merupakan sumpah terutama pada zaman ini yang banyak berlaku sumpah-sumpah yang buruk dan minat orang awam bersumpah dengan mashaf.”

"Al-Quraan juga menceritakan sifat golongan munafiq yang seringkali bersumpah untuk membenarkan kata-kata mereka sebagaimana firman Allah dalam dalam surah At-Taubah ayat 95-96:

“Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka karena sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka jahannam sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu ridha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu ridha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak ridha kepada orang-orang yang fasik itu,"

"Saya tidak mahu menghuraikan hukum penggunaan mashaf  al-Quaan dalam sumpah kerana para ulama telah mengulas dengan jelas dalam tulisan-tulisan mereka," katanya yang juga Adun Bukit Payung.

Mohd Nor juga berkata, Menteri Besar Terengganu seharusnya menunggu hasil siasatan yang dijalankan tanpa perlu mengadakan majlis sumpah dengan Al-Quran.

"Saya bimbang kemelut ini akan mencetuskan perbalahan dan sengketa yang lebih parah dengan cetusan membara  dendam kesumat. Di samping itu, kerisauan berulang tragedi itu terhadap pasukan-pasukan lain  yang bertandang di Johor menjadikan sukan bola sepak tidak harmonis dan selesa.

"Apakah Menteri Besar Terengganu tidak menyakini siasatan yang dibuat oleh pihak berkuasa terhadap insiden yang berlaku? Adakah Menteri Besar Terengganu sudah menjangkakan bahawa pihak istana Johor yang terlibat akan terlepas dan bebas?  Kenapa insiden ini berlaku dengan melibatkan institusi yang dihormati?

"Apakah tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam menyelesaikan kemelut ini? Kemelut bola sepak yang mengundang krisis keyakinan terhadap sistem keadilan negara, ketelusan pihak keselamatan dan boleh mencetus huru hara antara penyokong-penyokong," katanya lagi.

Tambah beliau juga, sukan bola sepak seharusnya membina perpaduan, bukan dicemari dengan insiden pergaduhan apatah lagi melibatkan pihak istana.

"Saya menyeru agar semua pihak melihat bolasepak ini adalah sebagai satu bentuk perpaduan sesama rakyat Malaysia. Kita yang sudah ketinggalan jauh berbanding negara-negara Asia lain dalam ranking FIFA sepatutnya bersatu bagi mencapai impian kita bagi memajukan bolasepak negara dan bukan dengan perbalahan demi perbalahan yang didalangi pihak tertentu yang akhirnya akan menghancurkan sukan ini.

"Dan yang paling utama saya berharap agar sumpah menggunakan al-Quran ini tidak lagi diulangi dimasa depan agar kita tidak mencemari kesucian al Quran yang sepatutnya kita mengambil faedah-faedah di dalamnya untuk diamalkan dalam kehidupan kita," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722