Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Sarawak dipimpin Adenan Satem, masihkah jadi simpanan tetap BN? – Shahbudin Husin

$
0
0
THE MALAYSIAN INSIDER

 
Teka-teki mengenai politik Sarawak kini sudah pun terjawab. Taib Mahmud yang berkuasa di Sarawak sejak 33 tahun lalu sudah sah akan meletakkan jawatannya pada 28 Februari ini. Pengganti beliau juga sudah diumumkan iaitu Adenan Satem yang sebelum ini memegang jawatan menteri tugas-tugas khas di Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

Dengan pengunduran Taib dan penggantinya juga sudah diumumkan, apa yang ditunggu hanyalah pelantikan beliau sebagai yang dipertua negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Sallahuddin Abang Barieng yang juga tamat tempoh perkhidmatannya pada hujung bulan ini.

Meskipun ada bantahan dan suara tidak setuju belliau menjadi yang dipertua negeri, rasanya tiada sesiapa yang dapat menyekat laluan itu.

Dengan martabat dirinya naik setapak lagi daripada ketua menteri kepada yang dipertua negeri Sarawak, bermakna Taib terpaksa mengosongkan kerusi DUN Balingian yang diwakilinya sekarang dan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Mudah-mudahan SPR tidak terperanjat dengan kemungkinan adanya pilihan raya kecil ini sebagaimana yang berlaku di Kajang sehingga tarikh pilihan rayanya hanya dapat ditentukan 54 hari dari tarikh kekosongan kerusi itu dimaklumkan.

Tamatnya teka-teki mengenai pengunduran beliau dan "ditabalkan" pula sebagai yang dipertua negeri, bermakna segala cerita kekayaan, pembolotan tanah dan balak oleh kaum keluarganya serta failnya yang sudah dibuka oleh SPRM, semuanya kini bakal menjadi kotak sejarah yang akan tersimpan sehingga kiamat.

Meskipun Taib didakwa terlibat dengan pelbagai pengumpulan kekayaan, tetapi cengkaman yang kekal berbisa sehingga ke hujung kuasa dengan menyumbang kerusi kemenangan kepada BN, adalah satu-satunya jasa beliau yang tidak dilupakan oleh sesiapa yang menjadi perdana menteri, terutamanya dalam pilihan raya 2008 dan 2013 lalu.

Dalam pilihan raya 2008, BN Sarawak menyumbang 29 kerusi kemenangan daripada 31 kerusi Parlimen yang dimilikinya manakala pada pilihan raya 2013 pula, di sebalik serangan kuat Pakatan Rakyat menggempur negeri itu, Taib masih mampu menyumbang 25 kerusi kemenangan dan menjadi asas terpenting kekalnya BN dengan kemenangan 133 kerusi berbanding PR 89 kerusi.

Oleh itu, tidaklah menghairankan, di sebalik pelbagai laporan dan dakwaan mengenai salah laku Taib yang diadukan kepada pihak berkuasa sentiasa menemui jalan buntu, bahkan di suatu ketika beliau pernah menempelak SPRM dengan mengatakan badan pencegahan rasuah itu tidak layak menyiasatnya.

Jika ketika beliau menjadi ketua menteri pun tiada siapa yang berani mengusiknya, apatah lagi selepas menjadi yang dipertua negeri.

Meskipun pakar undang-undang, Prof Aziz Bari mengatakan Taib tidak kebal walaupun sudah dilantik sebagai yang dipertua negeri berikutan masih boleh didakwa di mahkamah khas yang dibentuk di bawah Artikel 182 Perlembagaan Persekutuan, hakikatnya ia hanyalah sesuatu yang tertulis dan tidak pernah dipraktikkan selama ini.

Bahkan, kebarangkalian untuk dipraktikkan juga amat tipis.

Selain perancangan manusia untuk menjadikan Taib sedemikian rupa, barangkali memang sudah ketentuan Tuhan begitu nasib baiknya di dunia ini.

Namun demikian, apa yang menjadi perhatian dengan pengunduran Taib ini ialah sama ada Sarawak masih mampu menyumbang jumlah kerusi yang banyak atau menjadi "fixed deposit" kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang?

Di sebalik pelbagai isu dan dakwaan mengenai diri, keluarga dan kepimpinannya sejak beberapa kali pilihan raya yang lalu, pengaruh dan cengkamannya yang kuat di kalangan penduduk Sarawak menjadikan beliau mampu mengatasi halangan itu dan mencipta kemenangan yang membanggakan setiap kali pilihan raya diadakan.

Sebagai pemimpin lama yang berkhidmat sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lagi, kelebihan Taib ialah beliau memahami selok-belok politik negeri itu dengan arif dan dibantu dengan sumber kewangan kukuh yang dimilikinya dapat menukar kelebihan itu menjadi kemenangan di peti undi dan menenggelamkan semua isu serangan peribadi yang ditujukan kepadanya.

Kelebihan ini mungkin hanya ada pada Taib dan tidak pada Adenan. Latar belakang Adenan yang pelbagai dan bercampur, pernah menjadi guru, wartawan, majisteret dan sebagainya sebelum berkecimpung dalam politik, tidak memperlihatkan sesuatu yang istimewa sama ada mampu menandingi atau menyamai kelebihan Taib.

Sesuatu yang menjadi kelebihan Adenan ialah barangkali beliau tidak mempunyai isu peribadi dan keluarga yang boleh dijaja dalam kempen pilihan raya. Di samping pelbagai perkembangan lain yang sentiasa mengejutkan menjelang PRU14 akan datang, Sarawak di bawah kepimpinan Adenan yang mempunyai 31 kerusi Parlimen di negeri itu akan terus menjadi medan perebutan menarik antara BN dan PR.

Mampukah Adenan mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai "simpanan tetap" BN atau bakal bertukar menjadi "simpanan tunai" yang bila-bila masa boleh bertukar tangan? – shahbudindotcom.blogspot.com,

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722