Sejak penghujung 1998, Putrajaya berperang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan perdana menteri yang disingkirkan itu berdepan dua tuduhan meliwat dan satu salah guna kuasa, malah menghabiskan enam tahun di penjara dan kini berdepan prospek lebih banyak masa akan dihabiskan dalam penjara.
Dan semalam, temubual stesen perniagaan tempatan BHm dengannya mengenai pilihan raya kecil Kajang dilarang untuk disiarkan, kononnya kerana ia adalah stesen perniagaan dan tidak ada kena mengena untuk menyiarkan berita politik.
Maka, kenapa Putrajaya takut sangat dengan Anwar Ibrahim?
Ada beberapa petunjuk berhubung ketakutan yang meletakkan tiga pentadbiran – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak melakukan pelbagai cara untuk memastikan Anwar tidak mendapat lebih ruang yang membolehkannya menawan Putrajaya.
Dan ini juga bermakna kerajaan memerintah, Barisan Nasional (BN) mungkin tidak akan meletakkan calon untuk pilihan raya kecil di Kajang, dengan alasan bahawa pilihan raya itu dicetuskan untuk menyelesaikan masalah PKR di Selangor.
Keputusan BN untuk bertanding di pilihan raya kecil Kajang yang diadakan secara mengejut itu juga akan membuka lebih banyak tindakan sebagai pungutan suara terhadap polisi ekonomi dan pengurusan gabungan pemerintah sejak pilihan raya umum 5 Mei.
Hakikatnya, tindakan kerajaan Najib yang bergegas menutup cadangan kenaikan kadar tol 14 lebuh raya di Lembah Klang menunjukkan ketakutan mereka jika lebih ramai rakyat beralih kesetiaan kepada Pakatan Rakyat dan Anwar dalam pilihan raya akan datang.
Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin juga dari awal sudah menjangkakan dengan mengeluarkan kenyataan dalam satu mesyuarat tertutup Umno bahawa BN akan kalah jika pilihan raya diadakan pada masa ini.
Ramai yang setuju dengan pendapat Anwar akan menang mudah di Kajang, yang akan meletakkannya dalam laluan tepat untuk mengambil alih jawatan menteri besar Selangor – negeri paling kaya di Malaysia.
Menjadikan Anwar sebagai menteri besar akan membantu mempamerkan kemampuan PR untuk mentadbir negeri dan kepimpinannya akan dijadikan contoh jika PR akan menawan Putrajaya, kata penganalisis.
Penganalisis berkata, pada masa ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sudah membuktikan kemampuannya mengetuai negeri tetapi pemimpin kanan PKR dan PAS masih belum mempunyai platform untuk menayang kemampuan mereka.
Khalid terbukti pemimpin yang baik, kata seorang penganalisis tetapi beliau menambah, Anwar boleh jadi lebih baik untuk kedua-duanya iaitu ekonomi dan politik.
Satu lagi alasan Putrajaya hendak menutup peluang Anwar ialah beliau akan menggunakan RM3 bilion rizab Selangor dengan lebih baik berbanding Khalid, atau apa yang kerajaan BN boleh buat di Putrajaya.
“Malaysia memerlukan kepimpinan ekonomi dan tidak nampak ada yang boleh melakukannya di Putrajaya sekarang.
“Anwar sebagai menteri besar boleh menunjukkan caranya dan itu yang menggerunkan sesetengah pemimpin BN. Pilihan raya kecil di Kajang boleh mempercepat kejatuhan mereka,” kata seorang pemerhati terkemuka Malaysia kepada The Malaysian Insider.
Maka, mengapa Putrajaya takut kepada Anwar Ibrahim? Kerana segala usaha untuk menjatuhkan beliau gagal merendam popularitinya dan sebaliknya, menjadikan beliau antara calon lebih baik untuk mengetuai negara.
“Lebih baik jika BN memberi tumpuan kepada mentadbir negara daripada mencari cara menjatuhkan Anwar. Mereka membazirkan 15 tahun melakukannya tetapi masih tidak berjaya dan menjadikan Anwar nampa lebih baik.
“Rayuan liwat itu adalah peluang terakhir mereka sekarang tetapi ia mungkin sudah terlewat,” kata penganalisis merujuk kepada rayuan Liwat II yang masih berlangsung.