KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan supaya kontroversi yang berlaku pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU-13) tahun lalu tidak berulang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Hal itu termasuk kontroversi penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal, pengundi hantu, kejadian bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba ketika pengiraan undi dijalankan sehingga menimbulkan kekecohan dan menyebabkan orang ramai semakin hilang kepercayaan terhadap suruhanjaya itu.
Naib Presiden KEADILAN Tian Chua berkata, SPR harus mempelajari dan membaiki banyak perkara daripada pelbagai kejadian kontroversi yang berlaku dalam PRU-13 yang dikatakan berlangsung dengan penuh penipuan.
“Sudah lebih sembilan bulan berlalu sejak PRU-13 atau PRK terakhir di Sungai Limau lebih tiga bulan lalu. SPR mempunyai masa yang cukup membaiki kelemahan seperti dakwat kekal dan saya berharap SPR tidak ‘lupa’ untuk goncang secukupnya kali ini.
“Begitu juga dengan pengundi hantu dan isu lain yang tidak selesai walaupun SPR berpengalaman mengendalikan PRU 13 kali dan PRK pula tidak terkira,” katanya, lapor Selangorku.com.
Katanya, SPR sebagai badan bebas perlu membuktikan mereka tidak terbabit dengan pengaruh parti politik seperti dakwaan masyarakat umum.
“Malangnya, SPR hingga kini tidak seperti yang diharapkan. Kita cuma ada SPR dan berharap badan itu memenuhi tanggungjawab menegakkan salah satu perjalanan demokrasi di negara ini.
“Tetapi rakyat terpaksa mempertikaikan banyak perkara, persempadanan semula, tindak-tanduk tidak berkecuali ketika kempen dan hari mengundi, menutup mata penggunaan jentera kerajaan serta rasuah,” katanya.
PRU-13 lalu mencatatkan sejarah paling banyak kontroversi termasuk isu dakwat kekal, pengundi dipercayai warga asing, bekalan elektrik terputus ketika pengiraan undi dijalankan, agen calon tidak dibenarkan berada di dewan ketika pengiraan undi, tidak dibekalkan borang 14, keputusan diumumkan berbeza daripada borang 14 dan pelbagai kontroversi lain.
Dalam isu penggunaan dakwat kekal, sebelum ini SPR memberikan alasan dakwat itu tidak digoncang secukupnya menyebabkan kesan dakwat itu boleh ditanggalkan daripada jari hanya dengan menggunakan cecair pencuci pinggan mangkuk