Oleh SUBKY LATIF
Cuti hujung minggu, dua malam saya tidur di Kajang. Di satu jalan yang saya lalui ada beberapa tiang mengibarkan bendera PKR. Ada bendera yang lusuh, ada yang baru. Yang lusuh itu mungkin yang lama tidak diturunkan. Yang baru itu tentulah yang baru dipasang.
Di tempat lain saya tidak tahu. Saya ke situ bukan hendak menengok hal-hal itu. Tetapi saya berada di kawasan panas politik dan cuaca – tiada redup dan hujan seminggu ini.
Saya ke situ lepas Jumaat. Dan Anwar Ibrahim sudah solat Jumaat di sebuah masjid di kawasan akan bertanding PRK nanti.
Berapa lama Anwar merancang untuk mengadakan PRK di Kajang tidak diketahui. Tetapi kurang dari 2 jam ADUNnya mengemukakan surat perletakan jawatan, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar adalah calon PKR di DUN Kajang.
Sebelum saya ke Kajang, Azmin Ali pun terus turun ke Kajang berjumpa dengan orang-orang yang nak dijumpainya, membuat penjelasan dan mengerahkan persiapan.
Sehari selepas saya balik dari Kajang turunlah Anwar, Azmin dan Khalid Ibrahim ke perkampungan Sekamat mengadakan kempen pertamanya. Diumumkan Menteri Besar sendiri menjadi pengarah PKR bagi pilihan raya itu. Kehadiran tidak dikira hingga jalan tidak dapat dilalui kenderaan.
Manakala Umno dan BN masih sibuk mempertikai kewajaran Adun meletak jawatan dan untung ruginya PRK diadakan ketika orang tidak terfikir tentang politik pilihan raya. Umno masih tercari-cari calon. Mahu amanahkan MCA lagikah atau tukar parti komponen?
Sekarang semua orang Kajang tahu Anwar adalah calon PKR. Semuanya sudah dan sedang membincangkan buruk baik dan untung ruginya mengundi Anwar. Calon BN belum ada. Pemuda Umno mahukan orang Melayu jadi calon kerana MCA tidak dapat jadi denak untuk memenangi hati pengundi Cina.
Kalau majoriti pengundi Cina memberi undi kepada Anwar, Anwar memerlukan sekurang-kurangnya satu pertiga dari undi Melayu untuk memberi kemenangan mudah baginya. Kalau dia dapat separuh, ia adalah bonus baginya.
Maka Umno sekarang hendak meraih sekurang-kurangnya 60 ke 70 peratus undi Melayu. Kalau calon itu MCA, ia tidak yakin dapat sokongan Melayu sebesar itu. Itulah sebabnya ia mahukan calon itu kepada Umno.
Ada MCA memikirkan Datuk Chong Wei jadi calon. Kalau lawan badmintan, Anwar akan kalah dalam masa beberapa minit saja. Tapi ini bukan temasya sukan.
Siapa tokoh MCA yang boleh mengimbangi Anwar? Yang paling baik setakat ini ialah Tan Sri Ong Ka Ting. Presiden baru dan Timbalan Presiden barunya tidak dapat menyamai Ong Ka Ting. Tetapi adakah Ong Ka Ting hendak melepaskan jawatan Dutanya ke Beijing.
Akan calon dari Umno. Siapa orang Umno yang disukai oleh Cina? Najib? Dengan harga barang yang ada, seorang Cina pun dia tidak akan dapat. Yang terbaik dari Umno hanya Tengku Razaleigh. Mungkin Cina boleh bagi undi tetapi banyak mana?
Ikut loghat Kelantan Ku Li tok seh.
Mungkin ketika rencana ini keluar BN sudah mengemukakan calon, tetapi ia sudah agak lewat dibandingkan dengan Anwar yang sudah ke depan jauh.
Dengan keadaan yang ada, lambatnya ia turun ke Kajang, harapan BN hanya kalau Anwar boleh jadi macam arnab yang berlumba dengan kura-kura. Ia tertidur tengah jalan hingga kura-kura mendahului arnab. Anwar bukanlah kekura dan bukan arnab.