Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keikhlasan Putrajaya berhubung dialog konsensus nasional apabila tiada seorang pun daripada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyelar ugutan perkauman dan ancaman terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Ketua pembangkang itu mengutuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan tawaran menampar Kok bukanlah satu ancaman.
"Saya nak tanya Zahid, bagaimana boleh benarkan ancaman begini begitu sahaja? Tidak kira jika anda bersetuju dengan dia atau tidak, undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil," kata Anwar dalam satu sidang akhbar di Puchong hari ini.
Dengan mengatakan tawaran RM1,200 daripada kumpulan Melayu ekstremis kepada sesiapa yang berjaya menampar Kok bukan ancaman, Anwar berkata, pentadbiran Najib terutamanya Zahid tidak ikhlas untuk mengadakan konsensus nasional bersama Pakatan Rakyat (PR).
"Zahid mesti jalankan tanggungjawabnya sebagai menteri dalam negeri. Beliau tidak boleh biarkan mana-mana pihak melanggar undang-undang. Sama ada orang-orang ini dari Umno atau DAP.
"Saya tidak faham bagaimana Zahid boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini," kata Anwar, merujuk kepada kenyataan Ahmad Zahid semalam yang menolak bahaya Teresa Kok diancam dengan tawaran RM1,200 untuk menamparnya.
Pada 6 Februari, badan yang menggelar diri mereka Majlis NGO Islam, menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai tanda kemarahan terhadap pemimpin pembangkang itu yang dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam.
Fokus badan tersebut adalah Kok dan video Tahun Baru Cinanya, bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'.
Mereka kemudiannya mencalit darah ayam ke atas kertas rentang dengan wajah Kok dan pemimpin Cina lain daripada DAP dan PKR.
Keesokan harinya, Kok dan penyokongnya membuat laporan polis berhubung insiden itu.
Ahmad Zahid apabila ditanya pemberita, menegaskan tiada keperluan untuk menyiasat ancaman dan tawaran itu, sebaliknya mengatakan kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang meneliti Kok atas videonya, setelah menerima lebih dari 300 laporan polis.
Semalam polis sudahpun memulakan penyiasatan terhadap aduan Kok dan mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 505 (c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang ramai untuk mencederakan orang awan, serta Seksyen 506 kerana jenayah ugutan.