Pengguna semakin hilang keyakinan


KEYAKINAN pengguna di Malaysia kini berada di paras terendah sejak 2010, dengan Indeks Keyakinan Pengguna berada pada 98 mata, menurut laporan dikeluarkan Nielsen, firma antarabangsa yang menyediakan maklumat pasaran dan perkhidmatan penilaian.

Paras itu menandakan kali pertama keyakinan pengguna di Malaysia jatuh di bawah 100 mata sejak 2010, menunjukkan rakyat Malaysia bersikap kurang optimis terhadap perbelanjaan dan kewangan mereka.

Tinjauan Global Keyakinan Pengguna dan Niat Pembelian Nielsen itu dibuat bagi menilai keyakinan pengguna, kebimbangan utama, dan niat pembelian lebih daripada 30,000 responden yang mempunyai kemudahan Internet di 60 negara.

Walaupun tahap keyakinan pengguna Malaysia berada pada paras terendah sejak tiga tahun lalu, secara keseluruhan pengguna di Asia Tenggara mendahului penduduk dunia dengan sikap optimis yang berhati-hati, dan tahap keyakinan di rantau ini terus berada pada tahap tertinggi di dunia pada suku keempat 2013.

Menurut laporan itu, Indonesia mencatat markah Indeks Keyakinan Pengguna tertinggi antara semua negara, iaitu 124 mata, diikuti oleh Filipina (114) dan Thailand (109).

Vietnam berada di kedudukan sama dengan Malaysia dengan 98 mata manakala Singapura 97 mata.

Pengarah Urusan bagi Nielsen Malaysia, Richard Hall berkata, walaupun kepercayaan pengguna menurun, Malaysia tetap kukuh berbanding negara lain di dunia.

"Ini membuktikan walaupun Eropah dan Amerika Syarikat masih mengalami kemerosotan berikutan kemelesetan ekonomi, negara seperti Malaysia dan negara Asia Tenggara lain terus menikmati pertumbuhan ekonomi positif," katanya.

Kenaikan harga makanan kebimbangan utama

Lebih satu pertiga pengguna Malaysia yang menyertai kaji selidik itu menyatakan keadaan ekonomi adalah kebimbangan utama (35 peratus), diikuti peningkatan harga makanan bagi enam bulan berikutnya.

Hampir suku pengguna Malaysia bimbang kenaikan harga makanan berterusan (24 peratus) berbanding dengan suku sebelumnya (17 peratus), naik ke tempat kedua daripada posisi kelima pada suku ketiga 2013.

“Tidak dinafikan pengguna merasai harga barangan semakin meningkat tetapi dalam realitinya, kadar inflasi masih kekal rendah berdasarkan laporan Indeks Harga Pengguna terkini dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia, di mana ia menunjukkan peningkatan inflasi 3.2 peratus pada suku keempat 2013,” kata Hall.

Menurutnya, terdapat kenaikan dalam persaingan bagi harga barangan pasar raya di mana ia hanya menguntungkan pengguna.

"Peningkatan harga pada masa hadapan selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan dan desas-desus bagi pemotongan kadar subsidi hanya akan menurunkan keyakinan pengguna," katanya.

Pengguna mula menabung, langsai hutang

Menurut Hall, pengguna Malaysia menyatakan mereka mula lebih menabung dan melangsaikan hutang untuk menghadapi kenaikan harga pada masa hadapan.

Kajian itu menunjukkan pengguna Malaysia masih kekal sebagai penabung tegar, dengan 63 peratus menyalurkan lebihan dana kepada simpanan pada suku keempat 2013, selepas memperuntukkan keperluan perbelanjaan kehidupan seharian, iaitu kenaikan enam peratus.

Sementara itu, pelan untuk simpanan masa hadapan menunjukkan kenaikan kukuh pada suku keempat 2013 dengan 45 peratus warga Malaysia terus melunaskan hutang peribadi seperti kad kredit dan pinjaman, juga kenaikan enam peratus berbanding suku ketiga 2013.

Laporan itu juga menunjukkan pengguna Malaysia berusaha keras dalam memantau situasi bagi perbelanjaan am isi rumah.

Lapan daripada 10 pengguna Malaysia menukar tabiat perbelanjaan tahun lalu untuk memastikan pengurangan perbelanjaan isi rumah.

Tiga aspek di mana pengguna akan membuat potongan perbelanjaan adalah pembelian baju baru (59 peratus), hiburan di luar rumah (54 peratus) dan penukaran jenama barangan runcit kepada yang lebih murah (52 peratus).

“Adalah memberangsangkan melihat pengguna Malaysia mengambil langkah berjimat untuk simpanan dan pelangsaian balik hutang.

"Hal ini mungkin berlaku akibat daripada kesukaran pada masa kini untuk mendapat kemudahan kredit dan bank–bank juga menetapkan peraturan ketat bagi pengurusan kredit," jelas Hall.

Jualan perayaan juga menurun

Selain itu, kajian itu turut menunjukkan kuasa pembelian pada suku keempat termasuk jualan hujung tahun dan jualan perayaan menunjukkan sedikit penurunan bagi kategori barangan pengguna laris (FMCG).

Peratusan nilai jualan FMCG yang dipantau Nielsen menunjukkan peningkatan 2.2 peratus, iaitu penurunan 0.8 peratus berbanding suku sebelumnya.

“Tidak memeranjatkan apabila tahap keyakinan pengguna di Malaysia menurun akibat peningkatan tekanan ekonomi yang semakin meningkat, pengurangan subsidi dan persepsi keseluruhan bahawa harga semakin meningkat atau akan terus meningkat.

Tetapi keadaan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan inflasi masih dalam kawalan,” kata Hall.

Menurutnya, Malaysia mungkin tidak lagi menikmati suasana seperti tahun ledakan ekonomi pada 1990-an dan awal dekad 2000, tetapi Malaysia masih kukuh di rantau ini dan akan terus menikmati persekitaran ekonomi yang stabil.