Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang menyarankan pengguna menggunakan jalan biasa jika tidak selesa dengan kenaikan kadar tol diselar kumpulan Islam.

NONEMereka melihat kenyataan itu sebagai celupar, angkuh, biadap serta tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) antaranya amat kesal dengan kenyataan tersebut dan menyifatkan sebagai penghinaan terhadap rakyat terbanyak.

"Beliau (Wahid) sewajarnya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas keceluparan yang begitu biadab," kata presidennya Amidi Abd Manan (kiri) dalam kenyataan semalam.

Abim turut memberikan komitmen turut berkempen menentang kenaikan tol dan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan yang menurutnya makin menjerut leher rakyat biasa.

Wahid (bawah) pada Isnin dilaporkan berkata, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan alternatif jika menganggap kenaikan tol terlalu tinggi.
NONESementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) pula menyatakan rasa terkejut mereka dengan kenyataan "kurang bijang" Wahid itu.

"Kita menganggap kenyataan yang dikeluarkan beliau bersifat angkuh tanpa mengambil peduli kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat melalui siri-siri penderaan satu demi satu di negara ini.

"Ini bukan soal nak bayar tol atau tidak, juga bukan soal perjanjian konsesi yang terkandung, tetapi ini soal kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan beban dan kesengsaraan rakyat," kata Pengerusi majlis politiknya Ahmad Afif Zulkipli.