SUNGAI TENGI - Aduan segelintir individu yang mendakwa harga barangan runcit di kedai D’ Mart tinggi atau mahal berbanding kedai lain jelas tidak berasas.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di empat tanah rancangan Felda di daerah ini mendapati, harga di kedai runcit milik sepenuhnya Felda itu hakikatnya standard dan boleh dikatakan lebih rendah jika dibandingkan dengan kedai runcit lain.
Peneroka, Mohd Napiah Sulaiman, 49, mengakui terdapat sesetengah barangan yang dijual di kedai D’ Mart tinggi namun tidak membebankan peneroka.
“Harga ada yang mahal tapi tak membebankan sangat. Lagi pun di D’ Mart ada kelebihan kepada peneroka sebab kita boleh berhutang.
“Dan beban itu berlaku kalau berhutang banyak dan bila nak bayar balik. Tapi keseluruhannya tak ada masalah sangat,” katanya.
Seorang lagi peneroka, Abd Roni Josoh, 61, berkata, sejak dahulu lagi harga di kedai runcit milik Felda itu rendah berbanding kedai lain kerana harganya yang telah diselaraskan.
Menurutnya, harga barangan runcit sentiasa dikawal bermula daripada Perbadanan Niaga Felda (PNF) yang diwujudkan sekitar 1985 sehingga kini dikenali sebagai D’ Mart.
“Dulu masa dikenali sebagai PNF lagi, harga barangan runcit di sini memang murah, kalau mahal sekali pun beza 10 sen,” katanya.
Sementara itu, seorang pengurus kedai D’ Mart yang enggan dikenali berkata, harga di kedai mereka telah diselaraskan di seluruh rangkaian dalam negara.
Katanya, tidak timbul isu harga mahal atau tinggi malah kebanyakan peneroka lebih memilih D’ Mart berbanding kedai runcit lain dalam tanah rancangan Felda.
“Harga kita tidak ada beza dengan kedai runcit lain mungkin sama atau lebih rendah.
“Kalau ada kata mahal, cuba beritahu barang mana yang mahal. Sebab kita sentiasa kawal harga mengikut yang telah ditetapkan.
“Kadang-kadang kita turunkan harga sendiri tanpa fikir kesan atau untung banyak,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga barangan seperti susu tepung bayi dan kanak-kanak yang diletakkan tinggi namun tetap tidak melepasi harga kawalan.
Seorang lagi pengurus D’ Mart yang juga enggan dikenali berkata, D’ Mart turut mengadakan promosi harga setiap bulan bagi memberi kemudahan kepada pembeli.