KUALA LUMPUR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa memantau dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara semenjak berlakunya kejadian letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia beberapa hari lalu.

Sehingga ke tarikh hari ini, tiada kesan ketara ke atas kualiti udara yang disebabkan oleh kejadian letusan gunung berapi tersebut.

Merujuk kepada keadaan di mana ruang udara di sekitar kawasan Lembah Klang kelihatan sedikit berjerebu, ia adalah disebabkan kehadiran habuk halus atau partikel udara yang terampai dalam keadaan cuaca sekarang yang panas dan kering.

Habuk halus atau partikel udara yang terampai merupakan bahan pencemar yang dilepaskan ke atmosfera daripada pelbagai punca aktiviti manusia antaranya, pelepasan kenderaan bermotor, perindustrian, aktiviti pembangunan tanah dan pembinaan.

Sehingga kini tiada sebarang pembakaran terbuka berskala besar yang boleh menyebabkan keadaan berjerebu di sekitar Lembah Kelang.

Keadaan atmosfera yang stabil (stagnant) dan topografi kawasan Lembah Klang yang bercirikan lembah (valley) menyebabkan habuk halus atau partikel udara yang terampai terperangkap di ruang udara dan tidak dapat menyebar (disperse) dengan cepat.

Berdasarkan laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 4 Februari 2014, beberapa kawasan di Lembah Klang iaitu Daerah Kepong, Kuala Lumpur dan Daerah Hulu Selangor, Kelang, Petaling dan Sepang, Selangor telah tidak menerima hujan melebihi lima hari berturut-turut.

Pada hari ini, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan pada jam 12 tengahari menunjukkan sebanyak 32 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala sebanyak 20 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Tiada kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Maklumat status kualiti udara dan bacaan IPU setiap jam boleh didapati melalui laman web kami di alamat http://www.doe.gov.my

Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan sentiasa memantau dengan rapi perkembangan status kualiti udara dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang perubahan signifikan yang berlaku.

TINDAKAN

Berikutan cuaca panas dan kering, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telahpun mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri. Selain daripada itu Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu. JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri.

NASIHAT / MAKLUMAN

Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

SUMBER: Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NRE)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
NAMA : Mohd Haizul bin Hod
       Unit Komunikasi Korporat (UKK)
TEL  : 03-8886 1585 (DL)
FAKS : 03-8889 4763
EMEL : haizul@nre.gov.my  - Bernama