Yahaya (tengah) bersama Ketua BSJN, Inspektor Yusof Kames@Safiee (kiri) dan Pegawai Operasi BSJN, Inspektor Mohd Shah Afenddy Abdul Kadir menunjukkan dadah dan barangan yang dirampas.
PEKAN – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 32 tahun yang cacat anggota bersama tiga lagi lelaki ditahan apabila rumah sewa mereka di Bandar Dua Paloh Hinai diserbu sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Pekan 4 pagi, 1 Februari lalu.
Ketika serbuan dilakukan, keempat-empat suspek yang berusia 26 hingga 32 tahun itu sedang membungkus bekalan dadah yang baru diperoleh untuk dijual dalam kuantiti kecil.
Bagaimanapun, keempat-empat lelaki berkenaan enggan memberi kerjasama sebelum pintu rumah yang menjadi port aktiviti haram mereka sejak sebulan lalu terpaksa dipecahkan.
Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, pergelutan berlaku antara pasukan polis dengan semua suspek yang cuba meloloskan diri, namun mereka berjaya ditahan.
Menurutnya, apa yang lebih mengejutkan, kesemua suspek masih tidak serik walaupun masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mencuri.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai dan anggota bertugas, lapan paket lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 168 gram bernilai lebih RM10,000 berjaya ditemui di dalam rumah berkenaan.
“Polis juga merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah tablet, sebuah beg berisi wang tunai RM800 serta peralatan menghisap dan membungkus dadah seperti straw dan kepingan aluminium,” katanya.
Yahaya berkata, dua kereta jenis Honda Jazz dan Honda Civic yang ada di rumah berkenaan turut dirampas untuk siasatan lanjut berikutan nama individu lain tertera sebagai pemilik kenderaan berkenaan.
“Kesemua suspek telah berkeluarga dan tinggal di Felda Chini itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian air kencing yang dilakukan.
“Suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut dan akan didakwa di atas kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Mengikut maklumat diperoleh, polis turut mengesan pergerakan pengedaran dadah yang berlaku di kawasan tersebut, sekali gus berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah Pekan terutamanya di sekitar Paloh Hinai dan Felda Chini.