Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Mat Sabu Syiah?

$
0
0

Nazir Sufari



Sedang penulis berkemas untuk pulang ke rumah setelah menyelesaikan tugasan fotografi di sidang media Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu  atau popular dengan gelaran Mat Sabu di ibu pejabat PAS berhubung pelantikannya sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan isu tuduhan syiah, deringan telefon bimbit kedengaran. Rupa-rupanya tiga sahabat berfahaman politik pembangkang dan duduk setaman mengajak penulis minum teh atau 'ngeteh' di restoran mamak, jam 6 petang.

Penulis bergerak membelah kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur menuju ke Kajang. Mujur menunggang motosikal, kalau pandu kereta alamatnya sangkut di jalan raya. Ditambah pula dengan bayaran tol, amat menyiksakan. Apatah lagi jika kadarnya nanti akan naik. Akhirnya penulis sampai ke restoran seperti yang dijanjikan.

Dari jauh penulis melihat kerancakan tiga sahabat berbual. Seperti sedang berdebatkan sesuatu isu yang serius. Setelah memberi salam, belum sempat penulis melabuhkan punggung ke atas kerusi, salah seorang daripada mereka bertanya: " Mat Sabu tu Syiah ke?". Penulis terpinga-pinga seketika.

Mungkin mereka ingin mengetahui lebih lanjut sidang media Mat Sabu menjawab isu berkaitan Syiah tadi. Menyedari penulis bekerja dengan sebuah portal berita di Bangsar, mereka rasa mungkin penulis tahu segala maklumat. Tidak, penulis tidak tahu semua.

Rupa-rupanya tiga sahabat penulis tadi berdebat tentang isu Syiah Mat Sabu sejak sejam lalu. Dua lawan satu. Dua sahabat mempertahankan dakwaan bahawa Mat Sabu berfahaman Syiah menerusi bukti yang mereka kononnya perolehi, manakala seorang lagi menyangkal dengan menyatakan perlu ada bukti yang jelas dan berasas. Sekiranya tiada bukti, maka ia akan menjadi fitnah dan amat berdosa. Logik juga.

Dengan jujur penulis menjawab, Mat sabu menafikan beliau menganut Syiah dan akan memfailkan tuntutan saman ke atas Zahid Hamidi. Biarlah mahkamah menentukan. Biarlah yang bijak pandai menentukan. Bukan kita yang menunjuk hero siapa salah siapa tidak. Hanya orang ego dan sombong diri sahaja merasakan dia tahu semua perkara.

Penulis tidak menyokong atau menyebelahi sesiapa dalam memberi pendapat. Tetapi apabila penulis bertanyakan kepada dua sahabat tadi berkaitan bukti mereka menuduh Mat Sabu berfahaman Syiah, mereka hanya kata dapat maklumat daripada rakan mereka di dalam PAS. Apa buktinya? Rakaman video? Percakapan? Perbuatan? Risalah bercetak? Gambar? Saksi? Atau hanya omong-omong kosong kononnya kita hebat lantas mengetahui banyak perkara yang terselindung. Jika ke mahkamah sekali pun tanpa bukti yang jelas pasti hanya membazirkan wang ringgit dan cukai rakyat.

Mereka terdiam seketika, setuju atau tidak dengan pendapat penulis itu tidak dapat dipastikan. Tetapi yang dua orang itu masih dengan pendapat dan 'bukti' yang kononnya ada pada mereka. Apabila minta ditunjukkan bukti, tiada pun.

Biarlah masa menentukan sama ada Mat Sabu itu Syiah atau tidak. Yang pastinya hidup kita perlu diteruskan. Benar tetap benar, salah tetap salah. Tahun 2014 yang hampir kujung tiba nanti, menjanjikan bermacam-macam kenaikan seperti tol, harga barang, GST, cukai pintu dan lain-lain umpama rantaian tenaga nuklear. Apa usaha kita? Hanya sekadar membantah buat seketika atau mencari jalan yang lebih relevan menyerap asakan ini.

Tiba-tiba kami tersentak dengan laungan 'Gol!' pengunjung restoran mamak. Rupa-rupanya siaran langsung perlawanan bola sepak di antara Malaysia dan Vietnam untuk penentuan peringkat juara kumpulan lantas ke peringkat akhir sedang berlangsung. Malaysia berjaya menjaringkan gol pendahuluan. Hebat juga anak didik Datuk Ong Kim Swee ini. Reda seketika perbualan kami tentang Syiah dan Mat Sabu lantas memberi tumpuan ke layar televisyen restoran mamak. 1- 0 sekarang.

Melihat ke arah jam, hampir 7.10 petang. Penulis minta diri sambil meletak bayaran minuman di bawah cawan kosong. Mereka tetap dengan pendapat masing-masing. Hampir bermasam muka antara mereka dalam mempertahankan pendapat. Hampir ketawa penulis melihat mereka.

'Beginilah, kalau ada bahan bukti gred A atau gred B sila nyatakan", kata penulis kepada mereka, memetik perumpamaan yang diberikan oleh Datuk Mahfuz Omar menggelar bukti yang diberikan Kementerian Dalam Negeri seperti telur ayam Omega gred A atau B. Lalu, kami tertawa kecil menamatkan perbualan.

Persoalan ' Mat Sabu tu Syiah ke?' biarlah dijawab di kamar perundangan. Mat Sabu memfailkan samannya. Tanpa disedari di layar televisyen, pasukan bola sepak sedang meraikan kejayaan menewaskan Vietnam 2-1. Bravo Malaysia!

*Nazir Sufari adalah jurugambar The Malaysian Insider.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722