Teresa Kok menafikan bahawa beliau menyentuh mengenai insiden pencerobohan berdarah Lahad Datu,
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyoal adakah Umno cuba memainkan isu perkauman dengan memutarbelitkan kandungan klip video Tahun Baru Cina yang diterbitkan beliau.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Teresa menafikan bahawa beliau menyentuh mengenai insiden pencerobohan berdarah Lahad Datu, memalukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan merendahkan martabat kaum Melayu dalam klip video “Onederful Malaysia” itu.
Sebaliknya, tambah Teresa, dialog dalam video itu hanya merujuk kepada peristiwa di mana seorang pelancong Taiwan ditembak mati manakala isterinya diculik oleh lanun di perairan Sabah.
“Dialog pelakon yang memegang watak guru Feng Shui dalam klip video itu hanya sebut tentang kejadian menembak dan penculikan di Sabah tanpa menyentuh tentang peristiwa Lahad Datu, malah tiada apa-apa dialog yang mengejek atau merendahkan prestasi tentera kita yang mempertahankan negara dalam peristiwa Lahad Datu,” katanya.
Tambah beliau, kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan NGO pro parti tersebut yang memutarbelitkan kandungan video klip tersebut menunjukkan kebanrapan idea dan modal politik Umno-Barisan Nasional (BN).
“Mereka sudah tidak mampu lagi menikmati atau memahami humour politik, sebaliknya cuba membangkitkan isu perkauman atas klip video satira politik (political satire) untuk menutup kegagalan mentadbir negara.
“Tuduhan Shafie Apdal terhadap saya menunjukkan beliau ingin memainkan isu perkauman dengan membangkitkan kemarahan tentera terhadap saya. Selain itu, ini juga menunjukkan bahawa beliau tidak peduli masalah keselamatan yang dibimbangi oleh rakyat Sabah dan para pelancong dari seluruh dunia. Respons beliau adalah amat tidak bertanggungjawab bagi seorang Menteri Persekutuan yang berasal dari Sabah,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, tiada satu pun nama pemimpin negara yang disebut di dalam video yang tersebar luas di laman sosial kini
“Ini satu lagi kegilaan segelintir golongan pro-Umno yang rasis, iaitu apa saja kritikan terhadap kelemahan dan kesalahan kepimpinan Umno akan dituduh sebagai “menghina” Melayu, seolah-olah hanya Umno yang mewakili semua orang Melayu di negara ini,” tambahnya.
Teresa menegaskan bahawa tuduhan bahawa beliau merendahkan martabat kaum Melayu dalam ucapan permulaan video klip tersebut merupakan tuduhan palsu.
“Tajuk klip video tersebut adalah kombinasi Mandarin dan Kantonis. ‘Ma Lai’ dalam Mandarin bermaksud “kuda datang”, ‘sai lei ah’ dalam Kantonis bermaksud ‘sangat hebat’.
“Tahun Baru kali ini adalah Tahun Kuda dalam kalendar Cina. Ucapan saya sebagai pengacara dalam program video tersebut langsung tidak sebut tentang orang Melayu.
“Saya harap kumpulan pro-UMNO yang membuat tuduhan palsu itu agar segera bertaubat kerana ia boleh menimbulkan ketengangan kaum. Dan jika boleh, selidik dahulu Bahasa Mandarin dan Kantonis sebelum membuat tuduhan tak berasas yang akhirnya akan memalukan diri sendiri. Seperti kata pepatah Melayu, apabila meludah ke langit, tentu kena muka sendiri,” tambahnya lagi.
Tegasnya lagi, video klip tersebut hanyalah satu satira politik yang tidak perlu disiasat di bawah Akta Hasutan.
“Satira politik merupakan ‘humour’ yang mengajak rakyat, terutamanya rakyat yang berani berfikir serta sanggup menggunakan akal fikiran untuk berfikir, untuk memikirkan keadaan semasa dan masa depan negara kita.
“Sekiranya pihak polis dan pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan dan malah mengambil tindakan terhadap saya, saya ingin tanya kenapakah tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap golongan yang membuat tuduhan palsu terhadap saya dalam isu klip video ini,” soal Teresa.
Tambah Teresa, pihak Polis Diraja Malaysia mengamalkan dwi-standard sekiranya menyiasat video terbitannya itu dan tidak menyiasat kenyataan pemimpin BN dan blogger-blogger Umno yang disifatkannya menyakiti hati pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini.
“Sekiranya saya diambil tindakan oleh pihak berkuasa, jadi saya akan menjadi ‘producer’ klip video satira politik yang pertama diambil tindakan. Ini sudah tentunya merupakan ‘penindasan politik’ dan ‘pendakwaan secara terpilih’,” tegasnya.