Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
KENAIKAN harga bahan api, kadar tol (belum berkuat kuasa) dan sebagainya yang diumumkan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak memeranjatkan banyak pihak.
Bukan sahaja golongan berpendapatan rendah, malah golongan berada juga terasa kesannya kerana ia membabitkan kecelaruan perancangan ekonomi jangka panjang dan apa yang lebih memeranjatkan PM ‘terpana’ dengan penurunan harga kangkung.
Islam amat pandang serius tindakan menaikkan harga barangan keperluan asas seperti minyak (bahan api), elektrik dan air. Ini kerana ia dianggap menzalimi dan membebankan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Kenaikan itu mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa dengan laporan media sejak akhir-akhir ini yang sering dan cenderung untuk menguar-uarkan kononnya perbezaan harga pasaran minyak dunia melibatkan negara yang dikatakan jauh lebih murah daripada negara-negara lain.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga dilaporkan menaikkan tarif elektrik dan mungkin disusuli dengan kenaikan barangan lain. Masalah di sini ialah rakyat dihimpit dengan pelbagai kesukaran bagaikan mereka hidup dalam sebuah negara kapitalis yang banyak bergantung kepada bantuan subsidi kerajaan yang memerintah.
Kerajaan juga memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak dapat diterima umum terutama dalam kalangan pakar ekonomi negara hingga mengheret Profesor Diraja, Pak Ungku Aziz untuk bercakap mengenainya. Ini menunjukkan betapa kritikalnya kerajaan sedia ada pada hari ini, justeru yang berkuasa beriaia mempertahankan kuasa dengan cara yang tidak bersifat kejantanan dalam pilihan raya lalu.
Cuba kita imbas kembali sekali lalu peristiwa ‘black out’ pada malam kiraan undi tibatiba berlaku, sedangkan lima tahun sebelum itu tidak pernah pula berlaku elektrik terputus walau sekali, apakah makna semua itu?
Dan mengapa ahli-ahli Parlimen berbangsa Cina enggan untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan walaupun ada yang menang, sebab mereka beranggapan kemenangan mereka tidak bermaruah. Ia sekadar tambahan maklumat yang mungkin tiada kaitan dengan kenaikan harga barangan.
Apakah semua rakyat bersetuju dengan GST yang diperkenalkan kerajaan BN?
Penulis berjiran dengan individuindividu yang berkiblatkan Umno sejak sekian lama, mereka mula bersuara dan menampakkan bantahan cara mereka.
Penulis memprovok mereka dengan mengatakan “inilah kerajaan yang kamu pilih”, mereka senyap dan tidak membantah kerana dalam hati mereka tersimpan sifat amarah dengan bebanan harga barangan yang melambung tinggi.
Kembali kepada isu kenaikan harga barangan, sesungguhnya Islam menganggap bahawa semua bahan yang disebutkan di atas termasuk dalam senarai kemudahan awam, iaitu perkara yang orang awam tidak dapat melakukan sesuatu tanpanya, ia bersesuai dengan ketegasan baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibnu Abbas yang bermaksud: “Manusia berkongsi pada tiga perkara, iaitu api (elektrik), air dan rumput.”
Apa yang ditegaskan oleh baginda tidak diendahkan oleh pemerintah yang angkuh dengan kerajaan pimpinannya, seolah-olah tindakan kerajaan sebagai membalas dendam kerana hilang sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 lalu atau memprovok supaya rakyat bangkit menentang dan ada sebab mereka ditangkap dan sebagainya. Inilah taktik kotor pemerintah yang membelakangkan aspek nilai, keadilan terhadap rakyat.
Api, air dan rumput (asas pertanian) adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman kehidupan yang menyusahkan mereka.
Apa guna jika sering menguar-uarkan bahawa ekonomi negara melonjak di peringkat antarabangsa jika rakyat menderita dengan pengumuman itu, sepertimana pepatah menyebut, kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.
Rakyat cari alternatif
Apabila kerajaan gagal mengadakan bukan sahaja kemudahan asas, malah keperluan rohani seperti kelas-kelas agama, ia akan menyebabkan banyak perkara tidak akan selesai khususnya dalam sektor pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan insan yang menjadi agenda penting dalam sesebuah negara.
Kerajaan sebelum ini banyak terlibat dalam menyediakan program-program hiburan keterlaluan yang menjadi kegilaan golongan anak-anak muda pelbagai kaum secara langsung ataupun tidak langsung.
Maka rasa minat mereka kepada aspek agama menjadi pudar, ekoran daripada itu, tidak hairanlah laporan berita menyebut, ramai dalam kalangan budak-budak perempuan 12 tahun terlibat dengan perlakuan seks bebas dan ketagihan amalan itu pada tahap yang membimbangkan banyak pihak seperti yang dilaporkan akhbar arus perdana milik kerajaan.
Tingkah anak muda
Kalau sebelum kenaikan harga barangan diumumkan, masih terdapat sebahagian para bapa dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mengikuti kelas-kelas fardu ain sebagai bekalan untuk menuju akhirat, tetapi disebabkan sibuk selepas kenaikan harga barangan, surausurau dan masjid-masjid sudah mula lengang dengan kehadiran para jemaah.
Mereka mula gelisah memikirkan bagaimana boleh menambahkan pendapatan sampingan. Ada yang sudah mula terlibat dalam jualan langsung, ada yang terpaksa kerja lebih masa, tidak kurang juga yang mula mencari tapak di pasar-pasar malam. Semuanya tidak lain adalah untuk menambahkan pendapatan bagi meringankan bebanan perbelanjaan bulanan keluarga.
Apabila golongan bapa ini sudah tidak berapa mahu menjenguk rumah-rumah Allah seperti sebelum ini kerana kesibukan mencari pendapatan lebih, maka sudah tentu anakanak akan terbiar. Mereka sudah tidak lagi berada dalam kawalan bapa-bapa mereka, maka aktiviti sumbang yang sebelum ini boleh dibendung akhirnya tidak dapat dikawal seperti kegagalan kerajaan untuk mengawal harga barangan.
Akhirnya, golongan bapa tidak lagi dapat bermesra dengan anak-anak mereka seperti sebelumnya. Masyarakat akan semakin pincang kerana interaksi antara anak-anak dan bapa, ibu dan sebaliknya macam tidak wujud.
Masing-masing dengan haluan sendiri, kerana selepas waktu pejabat, golongan bapa atau dibantu golongan ibu sudah mula berkemas untuk ke tapak di pasar malam. Itu semua bukan yang mereka mahu, tetapi keadaan semakin mendesak, pembelajaran anak-anak menjadi keutamaan.
Justeru, Islam mengandaikan bahawa selagi mana pemerintah atau kerajaan tidak kembali untuk melaksanakan hukumhukum Syariat Islam seperti yang termaktub dalam al- Quran, selagi itulah Allah akan menghukum mereka, yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak bersalah.
Allah ada menegaskan dalam ayat 96-99 surah al-A’raf yang bermaksud: “(Tuhan berfirman lagi):
sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
“Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? “Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermainmain? “Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.”
Sama-samalah kita perhatikan firman Allah di atas, hanya dengan kita beriman dan bertakwa, Allah akan bukakan segala kurniaan apa yang ada di langit dan di bumi untuk hamba-hamba-Nya, dengan kemudahan dan kurniaan itu dapatlah mereka menjalani proses kehidupan dengan aman dan damai.
Menjauhkan sanak saudara
Tidak dapat dinafikan, kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain akan menjauhkan keakraban anggota keluarga. Secara praktikalnya, pada musim cuti sekolah baru-baru ini, tinjauan mendapati, perantau yang berkarier di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya, lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri, menyatakan rasa keberatan untuk pulang pada musim cuti kerana kos perjalanan dengan kereta semakin meningkat.
Tidak cukup dengan itu, ditambah bayaran tol yang memang membebankan, ada yang mungkin tidak pulang untuk berhari raya tahun ini kerana mahu menjimatkan perbelanjaan sebagai persiapan sesi persekolahan baru tahun berikutnya atau anakanak akan menjejakkan kaki ke menara gading Jun dan September depan.
Banyak lagi halangan untuk mempertemukan antara anggota keluarga, semuanya disebabkan kenaikan harga barangan.
Justeru, kenaikan harga barangan yang menjadi asas keperluan hidup manusia, benarbenar menghalang seseorang itu untuk melakukan kebaikan walaupun terhadap kedua ibu dan bapa masing-masing, jalan keluarnya rakyat perlu matang cara berfikir mereka untuk menidakkan para pemerintah yang ada pada hari ini yang dianggap gagal membela nasib rakyat dengan menggantikannya para pemerintah yang ada rasa takut kepada Allah dan hari akhirat.