Remaja hidap asma hilang sejak 26 Januari laluAida Farzana Mohd Rose Shaharani
 
 
IPOH - “Kali terakhir saya bertemu Along di rumah meminta wang RM10 untuk membeli set cat air (water colour) untuk digunakan bagi menyiapkan projek Pendidikan Seni,” kata suri rumah, Ruziah Samsudin, 42.
 
Ruziah adalah ibu kepada Aida Farzana Mohd Rose Shaharani, 17, atau nama manjanya Along, yang dilaporkan hilang sejak 26 Januari lalu ketika dalam perjalanan ke sebuah pasar raya besar di Kampar bersama sepupunya.
 
Menurutnya, Aida Farzana meminta izin untuk pasar raya besar berkenaan bersama sepupunya yang tinggal di Taman Kampar Jaya.
 
“Along ke rumah sepupunya menaiki motosikal dan selepas saat itu saya tidak melihat kelibatnya pulang ke rumah hingga ke hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui semalam.
 
Bapa remaja itu, Mohd Rose Shaharani Kamaruddin, 39, berkata, orang terakhir yang bersama anaknya adalah sepupu gadis terbabit, Alie Izwani Sudiman, 17.
 
“Melalui cerita sepupunya, pada jam 12 tengah hari mereka berjalan kaki dari Taman Kampar Jaya menuju ke pasar raya besar tersebut yang terletak lebih kurang satu kilometer namun anak saya mengadu dia penat berjalan.
 
“Along mempunyai penyakit asma dan pada ketika itu dia tidak membawa sebarang ubat bersamanya. Akibat terlalu penat, anak saya menyuruh sepupunya untuk mengambil motosikal yang ditinggalkan di rumah.
 
“Tetapi, selepas sepupunya tiba di tempat Along ditinggalkan, Along sudah tiada,” katanya yang membuka perniagaan kedai makan di Kampar.
 
Mohd Rose memberitahu, akhirnya, dia membawa Alie Izwani membuat untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar lebih kurang jam 11 malam 27 Januari lalu.
 
“Sehubungan itu, saya berharap sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Along untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran," katanya.