Bertentangan dengan dakwaan sebelum ini, tidak akan ada krisis perlembagaan di Selangor jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadi menteri besar, kata peguam terkemuka, hari ini.
Tommy Thomas, yang mempunyai 38 tahun pengalaman dalam bidang undang-undang menepis dakwaan peguam dan aktivis, Edmund Bon bahawa Selangor akan berdepan dengan krisis walaupun jika menteri besarnya sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat keputusan untuk meletak jawatan atas kehendaknya sendiri.
“Apa pun juga hasilnya, tidak ada krisis – perlembagaan, politik atau apa saja – yang disebabkan oleh peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dan niat Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pemerintah berpelembagaan, Sultan Selangor “tidak ada tangan bebas” dalam memilih menteri besar, memetik Artikel 51 dan 53 perlembagaan negeri.
Artikel 51 (2) menyatakan bahawa calon “mesti berbangsa Melayu dan beragama Islam” sementara Artikel 53 (4) memperuntukkan bahawa Sultan Selangor boleh menggunakan budi bicaranya dengan peruntukan dalam perlembagaan seperti Artikel 51 (2) yang menyekat pilihannya.
“Jelasnya ialah menteri besar di mana-mana negeri mesti warganegara Malaysia tetapi di Selangor, tidak ada kelayakan menetap. Maka, dia tidak perlu lahir di Selangor atau mempunyai kediaman tetap di negeri ini,” katanya kepada The Malaysian Insider, hari ini.
Beliau juga memetik Artikel 53 (2) yang menyatakan sultan hanya boleh melantik seseorang sebagai menteri besar jika calon itu ahli dewan perundangan negeri dan juga mengikut pertimbangannya adalah seseorang yang boleh diterima oleh majoriti ahli dewan.
“Perlembagaan Persekutuan dan semua perlembagaan negeri mempunyai peruntukan serupa seperti Artikel 53 (2) itu.
“Mereka dibentuk daripada Perlembagaan Westminster dengan perkataan standard,” katanya.
Thomas berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, parti politik (atau gabungan) yang mendapat kebanyakan kerusi dalam pilihan raya umum biasanya memilih pemimpin mereka sendiri.
“Jadi, dalam setiap kes di mana ada kekosongan dalam pejabat perdana menteri, sama ada disebabkan oleh peletakan jawatan atau kematian, pemangku pemimpin Umno atau Barisan Nasional dilantik oleh perdana menteri.
“Sama juga, selepas setiap 13 pilihan raya umum lalu, sultan tidak mempunyai budi bicara dalam pelantikan itu. Sama juga seperti keadaan di semua negeri. Jika ada pengecualian di negeri tertentu, menteri besar dilantik tanpa mengambil kira adab tertib perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, di Selangor, Pakatan Rakyat mempunyai 44 kerusi berbanding 12 kerusi Barisan Nasional, iaitu majoriti lebih tiga perempat.
“Maka, jika Pakatan mencalonkan Anwar untuk menjadi menteri besar selepas kemenangan di Kajang, sultan tidak ada budi bicara mengikut perlembagaan untuk menolaknya.
“Boleh anda bayangkan jika Yang di-Pertuan Agong tidak menerima angkat sumpah Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri pada Mei 2013 selepas beliau memperolehi 44 kerusi majoriti di Dewan Rakyat? Dalam kedua-dua senario itu, pemerintah berperlembagaan tidak ada budi bicara dalam pelantikan itu,” katanya.
Bagaimanapun, jika sultan menolak pelantikan Anwar sebagai MB ketika pencalonan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat atau jika Khalid enggan meletak jawatan sebagai MB, speaker boleh memanggil persidangan dewan undangan negeri khas untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Khalid dan usul percaya kepada Anwar.
“Memandangkan Pakatan mempunyai majoriti besar, kedua-dua resolusi itu akan dapat dijalankan dengan mudah. Selepas itu, sultan mengikut undang-undang perlembagaan perlu menyingkirkan Khalid dan melantik Anwar,” katanya.
Bon dalam posting di laman web LoyarBurok berkata, masalah mungkin akan timbul jika Khalid tidak memberikan alasan terhadap peletakan jawatannya atau tidak menasihatkan sultan.
“Sultan mungkin melantik MB lain yang mendapat kepercayaan majoriti Adun dalam dewan atau Sultan Selangor mungkin membubarkan dewan untuk pilihan raya baru.
“Melihat kepada perpecahan intra-parti dalam PKR, nampaknya Sultan Selangor tidak mahu melantik MB daripada PKR. Apa pun, PKR adalah minoriti dalam Pakatan,” katanya.
Bon berkata, jika sultan tidak perkenan permohonan Khalid untuk membubarkan dewan, Khalid dan semua exco terpaksa meletak jawatan.
Lee Chin Cheh daripada PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang pada Isnin lalu dan Anwar kemudian diumumkan sebagai calon pilihan raya kecil yang masih belum lagi diumumkan.
Ini meyakinkan spekulasi bahawa ketua umum PKR itu sedang meninjau untuk mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Khalid untuk menyelesaikan masalah persaingan antara Khalid dan Pengerusi PKR Selangor dan juga Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.