Dengan apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Selangor, ia menepati teori politik bahawa “politics is art of possibilities”. Dalam politik, sesungguhnya tiada yang mustahil selagi mana ia selari dengan kehendak Allah SWT.
Mengambilkira kemuafakatan dalam Pakatan Rakyat dan fokus utama ialah menumbangkan Barisan Nasional, saya percaya tindakan perletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kajang tentunya dilatari motif yang cukup kuat.
Justeru, saya benar-benar berharap perkara berikut diambilkira oleh teraju utama Pakatan Rakyat bagi mendepani suasana yang di luar jangkaan ramai pihak ini:
1.Seluruh jentera terutamanya pimpinan Pakatan Rakyat mestilah bersedia untuk membuat satu lonjakan yang benar-benar ampuh bagi menampilkan Pakatan Rakyat sebagai satu-satunya pengganti tunggal kepada Barisan Nasional untuk menerajui Malaysia.
2.Seluruh pimpinan dan jentera Pakatan Rakyat mestilah dipacu dengan seoptimum mungkin bagi memastikan tumbangnya Barisan Nasional.
3.Sebarang perubahan dalam kepimpinan negeri Selangor perlulah mampu menampilkan suatu perubahan terhadap corak dan gaya dalam perencanaan serta perlaksanaan pembangunan OKU yang pelbagai katagori.
4.Sebarang pembaharuan kepimpinan di Selangor mestilah mampu memberi impak dan kesan kepada gerakan memperkasakan rakyat bagi memastikan kebersamaan rakyat yang cukup jitu kepada Pakatan Rakyat di peringkat nasional.
Saya penuh percaya dengan gagalnya Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum PRU13 yang lalu, Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah yang cukup agresif bagi mendepani cabaran menumbangkan Barisan Nasional.
Dalam menelusuri pelbagai ujian dan cabaran itulah suatu hal yang tidak mudah diketepikan peri kekuatan yang ada pada aura Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan sisa umur yang ada, kekuatan aura perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh disia-siakan demi merealisasikan Malaysia baru bersama Pakatan Rakyat.
Dalam hal-ehwal pembangunan OKU, selain negeri-negeri Kelantan dan Pulau Pinang, sebagai mewakili suara OKU saya amat berharap untuk melihat suatu perencanaan dan perlaksanaan yang lebih terkehadapan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Dengan kedudukan kewangan yang cukup kukuh, Selangor seharusnya mampu muncul sebagai model terbaik dalam membangunkan OKU.