Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan merekodkan kenyataan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim atas laporan polisnya semalam yang menuduh Peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan afidavit palsu.
Ketua Polis Negara itu berkata, Mat Zain mungkin akan dipanggil hari ini berhubung laporan polisnya yang dibuat di Balai Polis Setapak semalam.
“Kita akan lihat kesalahan yang didedahkan dalam kenyataan ini,” katanya pada sidang media di Cheras petang ini dipetik daripada laporan Malaysiakini.
Mat Zain semalam membuat laporan polis sepanjang empat halaman ke atas Shafee, yang didakwanya melibatkan kesalahan berhubung rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II.
Kerajaan melantik Shafee untuk mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan tersebut menyebabkan peguam Anwar membantah kerana bimbang tidak mendapat perbicaraan adil.