Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Jihad dan mati syahid untuk IS bukan 'jalan singkat' masuk syurga - Siti Mariah

$
0
0
Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Raja Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan tindakan menyertai kumpulan Militan Negara Islam (IS) untuk berjihad bukan tindakan yang diajar dalam Islam malahan ia juga bukan 'jalan singkat' untuk memasuki syurga.
 
Ini kerana jelas beliau, gerakan berkenaan tidak berperikemanusiaan selain membunuh dengan kejam setiap mangsanya.
 
Selain itu tambah Siti Mariah, tindakan itu bukan saja bertentangan dengan Islam tetapi boleh menimbulkan keresahan dunia serta merosakkan imej suci agama tersebut. 
 
"Ini adalah masalah politik, jadi bagi saya ulama-ulama negara kita termasuk dari PAS, Umno, Majlis Fatwa dan banyak lagi dah mengatakan ini bukan jihad dalam erti kata yang dimaksudkan oleh agama kita.
 
"Pembunuhan sesama Islam dan sebagainya, ia disebabkan politik antara kuasa Timur Tengah, Amerika dan sebagainya.
 
"Ia mengenai minyak, mengenai pimpinan-pimpinan Timur Tengah," katanya kepada Antarapos.
 
Kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ini, mereka yang terlibat dengan kegiatan IS menganggap ia jalan singkat menebus kesalahan dengan mati syahid dengan harapan dapat memasuki syurga.
 
"Jadi bagi saya kejahilan kita tentang situasi politik menyebabkan orang muda kita yang memang berkobar-kobar untuk berjihad.
 
"Mungkin jalan singkat nak ke syurga tanpa mengetahui latarbelakang sebenar, terus terpujuk dan kemudian pergi ke sana bunuh-membunuh sesama Islam," katanya.
 
Terbaru seorang gadis berusia 14 tahun yang merancang untuk ke Syria melalui Mesir bagi menyertai aktiviti militan IS namun tidak kesampaian apabila ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
 
Gadis tersebut dikatakan merancang untuk ke Syria seorang diri selepas terpengaruh dengan laman Facebook yang mempromosi, merekrut dan membuat naik propaganda IS bagi mempengaruhi rakyat Malaysia untuk berjihad di negara berkenaan.
 
Setakat ini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan manakala 24 individu lagi ditahan selepas dipercayai terbabit  dengan gerakan berkenaan.
 
Sejak polis mengesan pembabitan rakyat negara ini dalam perjuangan militan di Syria, lima rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dan enam cedera.
 
Kekang penularan militan habis-habisan
 
Menurut Siti Mariah, kerajaan serta agensi berkaitan perlu mengekang penularan fahaman IS ini selaras dengan penetapan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menetapkan bahawa IS adalah pertubuhan yang menyeleweng.
 
"Bagi saya mudah sahaja, tumpu perkara utama...saya rasa ulama kita dalam hal ini sangat tegas.
 
"Siapa yang bangkitkan perkara ini sebagai jihad? Jadi kepala-kepala yang pergi ceramah dengan mengatakan perkara ini adalah jihad dan seumpamanya kena cekup mereka ini dululah," katanya.
 
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengambil langkah drastik untuk membersihkan negara daripada fahaman serta kumpulan yang menjurus kepada militan dan berideologi yang terarah kepada keganasan.
 
"Maknanya dengan mengatakan perkara itu sesuatu yang baik memang memberikan sesuatu yang tak betul.
 
"Mereka terpekik membawa sesuatu perkara iaitu kepercayaan politik mereka, mereka menyokong pihak mana dan sebagainya.
 
"Seterusnya mereka beri kepada anak-anak muda yang tak berapa faham politik Timur Tengah dan politik dunia," katanya.
 
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dan menyertai mana-mana kumpulan berbentuk ekstremis ini.
 
"Jadi kita kena cari punca maklumat itu, sudah tentu sekarang ada media sosial. 
 
"Jadi saya fikir kerajaan dan semua yang bertanggungjawab perlu menjelaskan kepada mereka dengan cara yang mudah perkembangan politik dunia dan apa yang berlaku di Timur Tengah," katanya.
 
Siti Mariah menambah, ancaman-ancaman yang wujud ini menuntut kerajaan serta pihak berkuasa  melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan bagi mengekang fahaman itu yang kini mudah diperoleh di laman sosial.
 
"Semua itu ada di Internet tapi mereka ini tidak baca yang panjang-panjang cuma ambil apa yang orang kata di media sosial," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722