Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Akta salah laku jalan terbaik selamat wang negara

$
0
0

Datuk Akhbar Satar
 
 
SHAH ALAM – Transparency International Malaysia (TI-M) menyambut baik cadangan Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya satu peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam digubal dengan segera.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata, peruntukan baharu itu bukan sahaja akan membantu meningkatkan keberkesanan tindakan SPRM, bahkan dapat memperbaiki sistem pengurusan kewangan agensi-agensi kerajaan.

“Saya juga percaya peruntukan salah laku penjawat sudah pasti akan menyumbang ke arah membantu menyelamatkan wang negara dan mengelakkan ketirisan.

“Jika mengambil kira pandangan panel itu, peruntukan ini sangat penting bagi mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang tidak berintegriti, amanah dan sambil lewa dalam menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, pengerusi panel itu, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil mencadangkan supaya satu peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam digubal dengan segera.

Katanya, peruntukan itu dilihat membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan holistik dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Akhbar berkata lagi, jika peruntukan itu digubal, ia juga secara langsung akan membantu kerajaan pusat yang telah melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan bagi mencegah rasuah kebelakangan ini.

“Pengenalan undang-undang ini juga akan menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa. Ia akan memperlihatkan keseriusan dan komitmen kerajaan dalam menangani rasuah.

“Penjawat awam juga tidak perlu gerun atau takut dengan undang-undang ini jika ia diperkenalkan kelak. Undang-undang tidak bertujuan menganiaya mereka, sebaliknnya memandu kita menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik lagi teratur,” jelasnya.

Katanya lagi, satu peruntukan baharu yang konkrit diperlukan oleh agensi penguatkuasaan dan pencegahan ‎bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Meskipun SPRM memberi syor dan pandangan dikenakan tindakan setimpal adakalanya tindakan diambil tidak sepadan atau tidak serius jika dibandingkan dengan kesalahan atau pelanggaran yang dilakukan. Difahamkan tiada ikatan perundangan kukuh dalam perkara ini.

“Jika terdapat undang-undang yang membolehkan sesetengah kes dibawa ke mahkamah sebagai salah laku ketika menjawat kedudukan awam, sudah pasti ia akan memudahkan skop tindakan perundangan, dan pada masa yang sama meningkatkan kefahaman orang ramai termasuk anggota pentadbiran awam,” katanya lagi.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722