Mohd Sabri Said
SEBERANG JAYA: Di sebalik provokasi perkauman dan agama yang cuba ditiupkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab, lebih 5000 rakyat negeri ini daripada pelbagai lapisan kaum dan agama berkumpul menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta tindakan Kerajaan BN melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Himpunan Turunkan Kos Sara hidup (TURUN 2.0) yqng diadakan di hadapan pintu masuk Sunway Karnival petang semalam membuktikan keresahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup yang semakin terasa kini ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Antara yang berucap Pengerusi TURUN, Azan Safar, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Rosidi Husain, Ketua AMK Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, Pengerusi Langgar, Zulkipli Saad, Pengerusi HAPUS, Zolkifly Md Lazim, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAAM), Che'gu Bard, Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Adun Sepetang, Chua Lee Ling.
Turut berucap bekas Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali, bekas Speaker Dun Pulau Pinang, Dato' Halim Husain dan Koordinator Jingga 13, Fariz Musa.
Perhimpunan aman itu berjalan lancar dengan kerjasama pihak polis dan polis trafik yang menjaga lalu lintas.
Selepas mendengar pidato penuh semangat pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO, para peserta perhimpunan berarak mengelilingi Jalan Todak, Bandar Sunway sambil melaung pelbagai slogan menuntut kerajaan menurunkan harga minyak, barangan dan perkhidmatan.
Perarakan sejauh satu kilometer yang diketuai Faris Musa dan Che'gu Bard itu berakhir dengan aman di hadapan Sunway Karnival.
Paling mendapat perhatian sepanjang perhimpunan itu ialah individu bertopi lebar sambil menggigit kangkung.
Terdapat juga peserta yang mengandar kangkung sebagai bantahan kepada kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini yang mahukan rakyat berterima kasih kepada kerajaan kerana harga kangkung yang dilaporkan turun.