Datuk Hussamuddin YaacubPengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub


SHAH ALAM – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media Karangkraf, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacub menegaskan, pembatalan debat Sinar Harian mengenai isu kalimah ALLAH dibuat betul-betul atas faktor keselamatan.

Katanya, perkembangan terkini, terutama insiden kain rentang bertulis ALLAH di sebuah gereja di Pulau Pinang pada hari Ahad mewujudkan keadaan semasa amat tidak sesuai untuk debat keagamaan itu diteruskan. 

“Itu keputusan kami tanpa desakan dari mana-mana pihak,” kata beliau selepas menerima kunjungan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang merupakan salah seorang peserta dalam debat tersebut.            

Seorang lagi pendebat dalam acara bulanan berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad.            

Debat tersebut sepatutnya dipengerusikan oleh seorang pensyarah undang-undang, Profesor Madya Dr Sham Rahayu Ab Aziz.             

Noh datang ke ibu pejabat Sinar Harian di sini petang tadi bagi mendapatkan penjelasan mengapa debat yang menjadi perhatian umum itu dibatalkan pada saat-saat akhir.             

Hussamuddin memberitahu pemberita, memang tujuan debat tersebut untuk membincangkan secara akademik mengenai isu kalimah ALLAH dari sudut Perlembagaan, dan hanya dalam ruang lingkup keadaan di negeri Selangor.             

“Walaupun untuk perbincangan akademik, kami bimbang perkembangan situasi terkini mungkin mencetuskan emosi dalam kalangan hadirin, sebab itu pengurusan Sinar Harian memutuskan debat dibatalkan,” katanya.            

Mengenai kemungkinan meneruskan semula debat berkenaan, beliau menjelaskan:            

“Kita akan memikirkan format dan syarat-syarat yang lebih sesuai, sekiranya ada keperluan, untuk mengadakan debat berkenaan dalam waktu terdekat, insya-ALLAH,” katanya.