MALAYSIAKINI
Umno Pulau Pinang mengeluarkan siri penafian terhadap tuduhan mereka di belakang ketegangan yang berlaku di negeri itu sepanjang minggu lalu, tetapi menyatakan perasaan empati terhadap pihak terlibat dalam insiden.
Parti itu menafi menganjurkan dua perhimpunan di Seberang Jaya dan Alma.
Mereka berkata tidak bertanggungjawab terhadap kain rentang kontroversi bertulis “Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi... mau lagi ka!” yang dipamer dalam perhimpunan pertama 18 Januari.
Umno negeri juga menafikan terlibat dalam insiden keganasan dalam perhimpunan kedua sehari selepasnya.
Dalam sidang media di Pulau Pinang petang semalam, pengerusi Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata, perhimpunan itu semata-mata sebagai reaksi kepada flash mob kangkung anjuran Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk pada 17 Januari yang menurutnya menghina perdana menteri.
“Dua perhimpunan minggu lepas tidak akan berlaku jika flash mob menghina PM tidak dianjurkan,” katanya.