"Satu dua hari lagi saya akan mengumumkan kandungan laporan nahas bas Genting Highlands. Saya janji kepada orang ramai, laporan tak akan sembunyi apa-apa, ia akan telus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) peringkat kebangsaan di Shah Alam hari ini.
Pengerusi Panel Penasihat Bebas kepada Menteri Pengangkutan Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya akan mengemukakan laporan penilaian mengenai kemalangan Bas Genting Highlands kepada kementerian itu, Selasa ini.
Dalam nahas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lepas, yang disifatkan nahas jalan raya terburuk negara, 37 orang terbunuh manakala 16 lagi cedera.
Mengulas mengenai program hari ini, Hishammuddin berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan keanggotaan 300,000 orang menjelang akhir tahun ini bagi program SM1JPJ bagi memperkasa semangat kesukarelawan di kalangan generasi muda serta menjaga keselamatan jalan raya.
Hishammuddin berkata penubuhan SM1JPJ yang kini dianggotai lebih 22,000 peserta penting kerana selain memberi suntikan semangat sukarelawan, mereka juga menjadi mata dan telinga kepada JPJ serta menjadi jambatan menghubungkan rakyat, JPJ dan kerajaan.
Katanya, penubuhan skuad ini tepat pada masanya sebab JPJ kini menghadapi cabaran besar untuk menjalankan tugas berikutan pertambahan jumlah kenderaan baru dan pemegang lesen kenderaan masing-masing sebanyak 1.3 juta dan 550,000 setiap tahun.
Hishammuddin berkata SM1JPJ bukan hanya untuk membawa mesej keselamatan jalan raya, tetapi juga mesej keamanan, perpaduan dan patriotisme.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad dalam sidang akhbar sama berkata SM1JPJ dilancarkan di semua negeri setakat ini kecuali Perlis dan Negeri Sembilan.
Katanya JPJ akan menempatkan 500 anggota skuad berkenaan di 32 kawasan rehat dan rawat seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina bermula 24 Januari hingga 9 Februari. – Bernama