Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Adakah Tun Razak seorang berjasa besar?

$
0
0
SUBKY LATIF


Masa Tun Razak sebagai Perdana Menteri agak  singkat – tahun 1970 hingga 1975. Sebahagian besar dari perkhidmatan politiknya adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
   
Sebagai orang kanan Tunku Abdul Rahman Putra, baik dalam kerajaan mahu pun dalam Umno ramai yang melihatnya sebagai seorang yang lebih bertenaga dari Tunku dan ramai yang mengharapkan dia jadi lebih besar dan lebih hebat dari Tunku.
    
Banyak yang merasakan kejayaan pentadbiran Tunku adalah atas peranan dan kerja kuat Tun Razak. Tun Razak muncul sebagai imej orang yang bekerja dan seorang pemikir. Serius dan kurang gelak ketawa. Berbeza dengan imej Tunku yang dirasakan seorang yang suka dikelilingi orangramai, sentiasa riang dan gelak ketawa, suka berjenaka. Dengan imej itu dia dikira kurang bekerja.
    
Lalu orang terasa kewujudan Bilik Gerakan – tempat pengumpulan data dan pelan pembangunan negara, pembentukan Bank Bumiputera, MARA, Felda, Penyata Razak – perakam falsafah dan dasar pelajaran kebangsaan, dan lain-lain  yang  wujud  pada zaman Tunku dikira dicetuskan oleh Tun Razak.
   
Kata Setiausaha Politik Tunku, Yap Chin Kui, cicit Yap Ah Loy kepada saya, Tunku adalah pemimpin. Pemimpin biasanya memanfaatkan orang-orang di bawahnya membuat itu dan ini mengikut apa yang dikehendakinya. Pemimpin mahu itu dan ini, Tun Razaklah yang melaksanakan perancangannya sebagai pemimpin.
    
Sebelum Tun Razak menjadi Perdana Menteri tetapi sudah mengambil alih pimpinan kerajaan, benda besar yang diadakan ialah Rukun  Negara. Yang terbesar sesudah menjadi Perdana Menteri melahirkan Dasar Ekonomi Baru, mengeluarkan Malaysia daripada sebuah negara pro-barat kepada sebuah negara berkecuali, mewujudkan Asia Tenggara sebagai rantau aman, bebas dan berkecuali.
    
Tetapi penuh masa sebagai Perdana Menteri Tun Razak berdepan dengan krisis berat Umno, perpecahan antara Umno yang dipimpinnya dengan Pemuda Umno yang  dipimpin oleh Datuk Harun Idris. Isu besar tidak dapat diselesaikannya - Umno diserapi komunis. Ketika beliau meninggal dua isu ini – krisis Umno dan komunis memasuki Umno – diwariskan kepada penggantinya.
    
Jika Tun Razak itu dirasakan disanjung tinggi oleh semua khususnya orang Melayu, tetapi dua pertiga dari tempoh Perdana Menterinya, pimpinan dan pemerintahannya dikritik terus menerus oleh Tunku Abdul Rahman.
   
Kebanyakan tulisan mingguan Tunku dalam Sunday Star adalah menyentuh kelemahan Tun Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
   
Isi rencana Tunku itu adalah tentang kekecewaannya terhadap kepimipinan Tun Razak, lebih lantang dari kritik Dr Mahathir terdapat kekecewaannya terhadap pimpinan Najib.
   
Kritik Mahathir adalah sekali sekala dan tidak diperincikan. Kritik Tunku adalah setiap minggu dan diperincikan dengan fakta dan hujah.
   
Kalau kita kata Tunku nyanyuk, mengkritik orang kanan yang pernah dipercayainya, dia bukanlah orang celupar seperti Mahathir. Tulisan Tunku menjadi perhatian dan perbulan ramai dan sumber maklumat pentng bagi diplomat dan wartawan asing.
    
Pandangan Tunku itu berbeza dengan apa yang ramai orang persepsi tentang Tun Razak. Orang ramai kenal dan mengetahui Tun dari jauh dan Tunku mengenal Tun dari dekat sejak sebelum merdeka. Adalah orang awam lebih memahami Tun dari Tunku dan apakah pandangan orang ramai lebih baik dari pandangan seorang Bapa Malaysia, bekas Presiden Umno dan Bekas Perdana Menteri.
    
Saya rasa belum ada ahli sejarah dan sarjana membuat kajian tentang kritik Tunku itu. Dengan teguran berterusan Tunku terhadap penggantinya itu menyebabkan saya menangguhkan tentang kedudukan Tun Razak sebagai  pemimpin besar dan berwibawa. Keputusan hanya boleh saya buat setelah ada kajian mendapati teguran Tunku itu tidak berasas.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722