Kenaikan harga barang menjadi isu penyebab jika kerajaan sekarang jatuh. Kenaikan harga barangan itu hanyalah ‘immediate cause’ sahaja tetapi isu yang sebenarnya masih belum difahami oleh banyak pihak. Jika harga barangan benar-benar disebabkan oleh kenaikan harga yang sebenarnya, keadaan sekarang ini tidak mungkin berlaku.
Rakyat marah kerana dalam kita sedang berhadapan memerangi isu harga barangan yang melambung naik ini, mereka mendengar pemimpin tidak berubah juga. Mereka masih dengan berbelanja wang mereka (rakyat) tanpa had dan ini hanya menunjukkan pemimpin kita hanya mahukan rakyat berkorban sedangkan mereka tidak mahu berkorban bersama.
Jika kerajaan kita dan pimpinannya bersih kenaikan harga barangan ini boleh menjadi faktor penyatuan di antara rakyat dan kerajaan dan bersama-sama memikul tanggungjawab bersama. Tetapi dengan sikap dan perangai pemimpin kita ini maka rakyat terasakan yang pemimpin utama kita hanya mahukan mereka (rakyat) sahaja yang berkorban, sedangkan mereka masih dengan sikap dan laku yang biasa seperti tiada apa masalah yang sedang kita hadapi.
Pemimpin-pemimpin kita masih dengan sikap ‘lavish’ mengadakan keraian harijadi dan keraian anak di hotel-hotel besar dan ternama sehinggakan sekarang di antara rakyat dengan pemimpin adalah di antara mereka yang ‘beratap nipah dan beratap genting’. Pemimpin kita tidak sensitif dengan perasaan rakyat yang memberikan mereka mandat untuk menjaga negara yang mereka sayangi ini. Mereka tidak mempunyai tempat atau negara lain untuk berlindung.
Mereka yang telah memunggah harta rakyat semasa berkuasa itu sememangnya boleh memilih negara lain untuk hidup setelah tiada apa yang tinggal di negara ini. Mereka boleh keluar negara hanya untuk melihat matahari naik di tahun baru di dua tempat di dunia ini, sedangkan rakyat tinggal di kampung masing-masing berperang dengan kenaikan harga barangan keperluan yang sedang mengganas sekarang ini.
Dengan keadaan ini maka rakyat telah merasakan tersisih daripada kerajaan dan pimpinan mereka. Rakyat merasakan yang mereka hanya dijadikan kaldai untuk memunggah harta benda mereka sendiri untuk dikendung dan dibawa lari oleh pimpinan yang mereka telah mandatkan untuk menjaga negara kita ini. Lebih dari satu trillion ringgit telah dibawa keluar secara sistematik tetapi haram itu, oleh mereka yang berkuasa dan kroni yang berhampiran dengan mereka (pemimpin).
Saya katakan wang kita dibawa lari secara sistematik kerana kita boleh menelah cara yang akan digunakan oleh mereka (pemimpin) ini. Ia boleh dilakukan dengan mengadakan dan syarikat yang boleh memberikan nasihat dari luar negara dan memberikan mereka upah yang dinamakan ‘consultancy fees’ kepada mereka dan melalui syarikat ini boleh memberikan kembali wang yang dibayar oleh pemimpin kerajaan itu.
Pimpinan yang rasuah dan tidak boleh dipercayai boleh menerima wang rasuah ini bukan sahaja dari pembelian barangan kelengkapan pertahanan dan sebagainya, ia juga boleh diterima dari mereka yang memberikan perkhidmatan dan nasihat dari syarikat antarabangsa. Itu sebabnya kita melihat harga dan kos yang diberikan oleh konsultan luar negara mencecah sehingga berbillion ringgit. Bukan semua wang itu didapati oleh syarikat konsultan itu. Sebahagian besarnya kembali ke tangan perasuah tegar itu.
Pendeknya setiap apa yang dilakukan untuk memberikan khidmat kepada pimpinan itu merupakan saluran yang sangat mudah untuk mendapatkan wang rasuah itu. Malahan ini lah kaedah ‘money laundering’ yang sangat mudah untuk dilakukan. ‘Money-laundering’ ini boleh dilakukan dengan membeli intan berlian dari negara luar dengan harga yang tinggi.
Sesudah mendapatkan barangan itu, barangan itu boleh dibawa kembali ke negara asalnya dan mengembalikan semula intan berlian itu dan mendapatkan kembali wang pembayaran intan berlian itu dengan diskaun untuk penjual yang telah memberikan kerjasama tadi. Dengan cara ini penjual itu akan mendapatkan kembali intan berlian yang dijualnya tadi dan dapat pula banyak diskaun diatas kerjasama pembeli yang rasuah tadi. Semua ini telah berlaku dinegara ini dalam jumlah yang terlalu besar untuk diterima oleh rakyat yang memahaminya.
Dalam masa yang sama rakyat yang rata-rata susah tidak dapat lari dari himpitan kenaikan harga barangan tadi. Ia tidak dapat diselesaikan dengan memberikan bantuan BRIM semata-mata tetapi ia wajar diselesaikan dengan tindakan yang drastik oleh rakyat sendiri melalui saluran-saluran yang ada secara sah dan ‘legitimate’ mengikut sistem demokrasi kita yang kita amalkan ini.
Itu sebabnya pembangkang mendapat sokongan dari mereka yang marah-marah ini, dan mereka bukan berpindah kepada pembangkang kerana pembangkang itu boleh menyelesaikan masalah-masalah itu.
Tidak ada jaminan yang pembangkang boleh memberikan penyelesaiannya kerana pimpinan yang diunjurkan oleh pembangkang untuk mengganti yang ada pun merupakan penyumbang kepada masalah ini semasa mereka tidur 'sekelambu' dengan pimpinan hari ini suatu ketika dahulu. Budayanya sama, gayanya serupa dan sikapnya tidak menunjukan perbezaan dengan yang ada hari ini.
Jika kita teliti sehalus-halusnya UMNO tiada apa yang boleh mereka harapkan lagi selain dari penolakan dari rakyat. Selagi UMNO tidak memberikan penampilan yang utuh dengan barisan kepimpinannya selagi itu lah UMNO tidak lagi perlu bersusah payah kerana apa yang mereka akan alami adalah ‘predictable’. Mereka boleh terus menjahanamkan perbendaharaan kerajaan dan bermain politik perkauman dan agama seperti yang mereka lakukan sekarang ini.
Sesungguhnya yang membantu pembangkang untuk mara kedepan hari ini ialah UMNO dan BN itu sendiri dan bukannya oleh sesiapa yang lain. Kepada UMNO kita hanya hendak memberitahu, ‘sendiri buat sendiri tanggung’.
Yang pentingnya semua isu yang kita alami kini wajib diselesaikan. Kita tidak sabar menunggu waktu kita akan kembali harmonis di antara kita.