Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) hari ini menolak laporan media mengenai kenyataan kontroversinya bahawa subsidi bahan api RON 95 hanya akan diberi kepada golongan miskin adalah bayangan bahawa Putrajaya akan memansuhkan subsidi bahan api tidak lama lagi.
"Tidak...tidak...saya tidak membayangkan atau memberi petunjuk bahawa subsidi itu akan ditarik tetapi rasionalisasi subsidi perlu dikaji semula."
"Kami adalah kerajaan yang bertanggungjawab. Kita boleh memilih untuk menjadi populis dan tidak membuat keputusan tertentu tetapi kita tidak boleh melakukan itu dan membuat keputusan untuk menjadi popular," katanya menjelaskan kenyataannya dua hari lepas.
Tengku Adnan menerima kritikan daripada pengguna apabila berkata bahawa Putrajaya akan mengumumkan mekanisme baru bagi membolehkan harga subsidi bahan api RON95 hanya dijual kepada golongan miskin.
"Kami mahu mengenakan kenaikan itu hanya kepada mereka yang mampu," kata beliau sambil menambah bahawa seseorang yang memandu Toyota Alphard atau Mercedes-Benz masih boleh menggunakan komoditi bersubsidi.
Beliau berkata dasar harga baru mungkin akan berkuat kuasa pada Mei atau Jun.
Tambahnya pelawat dari Singapura dan Thailand, dan juga para ekspatriat yang tinggal di Malaysia juga menikmati kadar subsidi bahan api.
"Saya hanya kata subsidi perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan…rakyat miskin mesti diberi subsidi," katanya hari ini selepas menyampaikan cek Skim Keselamatan 1 Wilayah Persekutuan (SK1WP) kepada 20 wakil persatuan penduduk dari kawasan itu.
Sejak September tahun lepas, Putrajaya telah mengumumkan beberapa kenaikan harga sebagai sebahagian daripada inisiatif rasionalisasi subsidi.
Ia menyaksikan kenaikan harga bahan api dan gula serta peningkatan tarif elektrik .