Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Jangan ugut buang pelajar SJKT Seaport

$
0
0

MALAYSIAKINI

 
 
 
Gerakan Menyelamatkan Sekolah Kami SJKT Seaport (SOSS) menggesa Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berhenti mengancam untuk memberhentikan pelajar yang tidak mahu belajar di bangunan baru sekolah itu di Kampung Lindungan, SS6.

Setiausaha SOSS, Kannan Ramasamy berkata sebelum ini SJKC Damansara juga mengalami kemelut sama seperti SJKT Seaport tetapi pelajarnya tidak dibuang sekolah dan sekolah itu juga dibenar beroperasi selama lapan tahun.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mahmud Karim yang didakwa dilaporkan akhbar arus perdana sebagai berkata bahawa pelajar-pelajar yang ibu bapanya masih enggan mendaftarkan mereka untuk bersekolah di bangunan baru berkemungkinan dibuang sekolah.

"Ini adalah satu kenyataan yang bersifat mengugut.

"Saya harap JPN dan PPD berhenti mengeluarkan kenyataan dan cuba mencari penyelesaian yang baik," kata Kannan dalam satu sidang media pagi ini.

Menurutnya, pertimbangan itu adalah peluang kerajaan negeri untuk memperbetulkan ketidakadilan yang telah dikenakan terhadap sekolah itu sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa gembiranya dengan tindakan pejabat menteri besar Selangor yang menggesa pegawai daerah Petaling agar mempertimbangkan permohonan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk mewartakan tapak sekolah sekarang.

Pihak SOSS mengetahui perkara tersebut menerusi satu salinan surat daripada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohamad Yasid Bidin kepada Pegawai Daerah Petaling, Datuk Misri Idris yang turut dihantar kepada Pengerusi PIBG, Kumar Vanathan.

"Kami melihat perkara ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif," kata Kannan yang juga merupakan Presiden Kebangsaan Lembaga Sekolah-sekolah Tamil Malaysia.

Keluarga 27 pelajar SJKT Seaport sebelum ini enggan memindahkan anak mereka ke bangunan sekolah baru di Kampung Lindungan, Kelana Jaya yang terletak kira-kira 4 kilometer dari tapak sekolah lama.

Bangunan lama sekolah tersebut, yang didakwa hampir berusia 100 tahun adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurut PKNS, tapak sekolah itu selama ini adalah satu tapak sementara sebelum bangunan baru sekolah dibina.

Menurutnya, PKNS berkemungkinan mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa pelajar yang masih enggan berpindah namun, dan satu perbincangan di antara PKNS dan pihak ibu bapa akan berlangsung pada 28 Januari depan.

Dalam perkembangan lain, Kannan berkata pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Unesco memandangkan sehingga kini menteri dan timbalan menteri pendidikan tidak menunjukkan kesungguhan untuk  berbincang secara rasmi  tentang perkara itu.

"Mereka kerap kali memesongkan isu ini sebagai isu pengangkutan tetapi tuntutan sebenarnya adalah untuk mengekalkan sekolah sedia ada di tapak asalnya berdekatan dengan komuniti Seaport," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722