KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Menjadi kesalahan kepada seorang ahli parlimen yang menjenguk tahanan himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah di Pulapol sehingga dipenjara, namun ‘pencuri lembu’ dilepaskan, kata Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Saifuddin Nasution.
Beliau menyelar hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
“Kesalahan Tian adalah pergi jengok orang yang ditangkap di Pulapol (Pusat Latihan Polis). Kalau Tian balik ke rumah, dia akan selamat.
“Sebagai seorang ahli parlimen, dia bersama dengan rakyat (peserta) perhimpunan yang ditangkap berada di balai polis.
“Menjadi satu sifat dan tabiat bagi Tian Chua berada di balai polis, di Pulapol untuk beri sokongan moral kepada peserta yang ditahan.
“Rupanya berada di tempat macam itu menjadi satu kesalahan,” kata Saifuddin pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Kata Saifuddin sistem perundangan di Malaysia berat sebelah, yang jelas membela kesalahan besar yang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN.
“Di negara kita ini kalau curi duit lembu RM 250 juta tidak dikenakan apa-apa (tindakan)
“Tapi kalau kamu jenguk orang yang sudah ditangkap, kamu kena penjara,” katanya.
Dalam himpunan ‘Bersih 3.0 Duduk Bantah’ pada 28 April 2012 itu, lebih 250,000 rakyat Malaysia dari pelbagai latar umur, bangsa dan agama hadir bagi menuntut reformasi sistem pilihan raya.
Pada perhimpunan bersejarah itu juga wartawan dan jurugambar termasuk media asing dipukul dan dirampas peralatan media oleh anggota polis bertugas.