Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Wujud desakan singkir Khalid, kata Saifuddin

$
0
0
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di sidang media di Petaling Jaya, hari ini.  – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Januari, 2014.Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di sidang media di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari,
























 


PKR hari ini mengesahkan wujud desakan di kalangan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu untuk menggugurkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dalam mesyuarat minggu lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata MPP tidak pernah membuat keputusan menggugurkan Khalid, maka tidak timbul isu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

"Ahli MPP jumlahnya hampir 55 orang. Mesyuarat pada 15 Januari itu dipengerusikan oleh Azmin dan saya duduk di sebelahnya. Daripada 55 orang, ada yang mengambil pendirian keras mencadangkan Khalid dilucutkan.

"Tiga atau empat orang daripada 55 orang. Tetapi pandangan mereka tidak menjadi usul MPP. Azmin mempengerusikan mesyuarat. Tidak mungkin dia mempengerusikan mesyuarat untuk singkirkan Khalid dan dia sebagai pengganti," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Saifuddin berkata, PKR tidak mungkin mampu mengambil keputusan untuk menyingkirkan Khalid selagi tidak mendapat persetujuan PAS dan PKR kerana parti itu hanya memiliki 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Katanya, Azmin pernah menyatakan hasrat untuk menjadi menteri besar Selangor selepas pilihan raya umum lalu namun tidak timbul desakan sedemikian selepas daripada itu.

“Apa yang saya faham, sejurus selepas pilihan raya, pendirian Azmin berhubung menteri besar disampaikan. Selepas pilihan raya sehingga sekarang, urusan berjalan seperti biasa.

“Walaupun isu Selangor dibincangkan, tidak pula Azmin mengambil pendirian keras meminta Khalid meletakkan jawatan,” katanya yang turut memberitahu Khalid tidak hadir dalam mesyuarat MPP pada minggu lalu.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily semalam mendakwa MPP PKR dilaporkan membuat keputusan untuk menggantikan Khalid dengan calon yang baru.

Menurut laporan edisi petang akhbar itu, keputusan untuk menggantikan Khalid dibuat melalui satu mesyuarat MPP yang diadakan semalam selain mendakwa Azmin merupakan calon yang disebut-sebut bakal menggantikan Khalid menerajui Selangor.

Pimpinan PKR dikatakan tidak berpuas hati dengan cara Khalid mengendalikan isu penting seperti bekalan air di Selangor, penggunaan kalimah Allah, keputusan menaikkan gaji dan elaun wakil rakyat, kenaikan kadar lesen perniagaan secara mendadak serta cadangan kenaikan cukai pintu.

Semasa Kongres Nasional Khas PKR pada November tahun lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Khalid seorang pendengar yang baik tetapi lambat melaksanakan arahan yang diberikan.

Meskipun sindiran itu ditujukan secara terus kepada Khalid yang duduk berhampiran dengan Anwar, ahli Parlimen Permatang Pauh itu tetap memuji pentadbirannya di Selangor yang dilihat dapat mengurangkan pembaziran berbanding kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

"Dia adalah seorang sahabat yang paling setia mendengar berbanding pemimpin PKR yang lain. Tan Sri Khalid seorang yang paling patuh mendengar cuma paling lambat laksanakannya kadang-kadang.

"Saya tegur seorang pemimpin dengan perkara yang baik. Saya tegur supaya dia dapat baiki skru longgar sebelum ini," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722